Seorang hilang, enam selamat perahu karam di Sungai Song

Rudi Affendi Khalik
Februari 12, 2023 21:30 MYT
Anggota bomba membawa naik mangsa yang berjaya diselamatkan selepas perahu yang dinaikinya karam di Sungai Song. - Foto JBPM Sarawak
SONG: Seorang lelaki hilang manakala enam yang lain terselamat selepas perahu yang mereka naiki karam di muara Sungai Song, dekat sini, lewat malam tadi.
Menurut Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Henderi Ardimanshah, insiden membabitkan penduduk Rumah Ekeh Nanga Pan, di sini yang sedang dalam perjalanan pulang selepas mengunjungi pekan Pekan Song.
"Pihak kami menerima panggilan sekitar jam 11.17 malam dan segera mengaktifkan jentera dan sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Song yang kebetulan sedang mengadakan rondaan Monsun Timur Laut ke lokasi.
"Berdasarkan maklumat awal, kesemua mangsa yang terselamat sedang tersadai di muara sungai, yang terletak di seberang pekan termasuk dua yang tidak sedarkan diri, setelah diselamatkan rakan mereka.
"Salah seorang daripada mangsa kemudian menghubungi saudaranya yang berada di pekan berkenaan, yang kemudian memanjangkan maklumat kepada pihak bomba.
"Setibanya di jeti Pekan Song, pasukan bomba kemudian mendapatkan bantuan pemilik perahu awam yang kebetulan berada di jeti berkenaan untuk menyelamatkan mangsa.
"Ketika inilah kita mendapat maklumat akan identiti mangsa yang hilang, yang kemudian dikenal pasti sebagai Gawing Mancha, 47.
"Kesemua mangsa yang terselamat kemudian diserahkan kepada pasukan paramedik dari Klinik Kesihatan Song untuk rawatan lanjut.
"Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang hilang bagaimanapun akan dimulakan pada pagi Isnin memandangkan keadaan persekitaran yang gelap serta faktor keselamatan bagi pasukan penyelamat," katanya lagi.
#perahu karam #Sungai Song #Rumah Ekeh Nanga Pan #muara sungai