[TERKINI] Syed Saddiq Dilepas dan Dibebaskan | Mahkamah Rayuan Ketepikan Sabitan Kes Dana Armada – Klik untuk Laporan Penuh
NATIONAL

Seorang jemaah haji wanita meninggal dunia di Tanah Suci akibat serangan jantung

Firdaus Azil 17/05/2025 | 15:15 MYT
Norizah mengalami serangan jantung sewaktu berada di dalam Masjidil Haram, dan disahkan meninggal dunia di Hospital Jiwar. - Gambar Facebook
KUALA LUMPUR: Seorang jemaah haji wanita dari Batu Pahat, Johor, disahkan meninggal dunia di Tanah Suci Mekah pada 16 Mei, akibat serangan jantung.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata, wanita itu, Norizah Tambunan Nordin, 47, mengalami serangan jantung sewaktu berada di dalam Masjidil Haram dan disahkan meninggal dunia di Hospital Jiwar.
Beliau berkata, pusat maklumat operasi Tabung Haji telah memaklumkan perkara berkenaan kepada waris Allahyarham di Batu Pahat dan akan menguruskan segala keperluan termasuk urusan pengebumian.
“Saya difahamkan Almarhumah ini tidak sempat untuk menunaikan umrah wajib … beliau berada di dalam Masjidil Haram, (mengalami) serangan jantung ketika berada di dalam Masjidil Haram kemudian dibawa ke klinik berdekatan, kemudian dibawa ke Hospital Jiwar, dan telah menghembuskan nafas terakhir di hospital tersebut
“Jadi saya bersama seluruh warga Tabung Haji dan Kerajaan merakamkan takziah kepada keluarga Almarhumah Norizah Tambunan Binti Nordin,” katanya di Kota Kinabalu, pada Sabtu.
Terdahulu Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid turut berkongsikan berita menyedihkan itu dan berkata, arwah adalah seorang jemaah dalam Rombongan Haji Kerajaan Johor (RKJ) yang tiba pada 16 Mei.
Beliau yang mewakili Kerajaan Johor turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarhamah dan memaklumkan arwah adalah kakitangan di Pejabat Daerah Batu Pahat.
Dalam pada itu Mohd Na’im berkata, Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Mustakim Mohamad telah menziarahi keluarga Norizah Tambunan di Batu Pahat pada Sabtu untuk menyampaikan ucapan takziah, di samping menyerahkan sumbangan awal sebanyak RM1,500.
“Ini adalah sumbangan daripada perlindungan Takaful Haji yang dilanggan oleh Almarhumah. Bakinya InsyaAllah akan disalurkan setelah kelulusan pihak Takaful diperoleh. Untuk makluman rakan rakan semua, saya difahamkan bahawa Almarhumah ini telah membeli dua polisi Takaful.
“Oleh kerana beliau ini kembali ke Rahmatullah dan meninggal dunia di Tanah Suci, maka jumlah takaful, pampasan yang akan diperolehi oleh keluarga Almarhumah ini adalah sebanyak RM48,000, hasil daripada langganan dua kontrak pelan perlindungan khairat Tabung Haji,” katanya.
#meninggal dunia #Tabung Haji #ucapan takziah #serangan jantung