KUALA LUMPUR:Seorang kakitangan premis pakaian Brands Outlet di pusat beli-belah Paradigm di Petaling Jaya disahkan positif COVID-19.

Perkara itu dimaklumkan Padini Holdings Berhad menerusi ciapan di laman Facebooknya. Jelasnya, kakitangan itu kini menerima rawatan lanjut.

"Padini Holdings Berhad ingin memaklumkan pada 5 Oktober 2020, salah seorang kakitangan di Brands Outlet (Lot CF05 & CF07, Concourse, Paradigm Mall, Jalan SS7/26a, SS7, 47301, Petaling Jaya, Selangor disahkan positif COVID-19.

"Kakitangan terbabit kini sedang menerima rawatan. Kesihatan dan keselamatan pekerja serta pelanggan menjadi keutamaan kami. Kami memohon maaf atas kesulitan yang berlaku," katanya.

 
Sumber Facebook BO.BrandsOutlet.MY

Dalam pada itu, proses disinfeksi telah dijalankan seperti mana yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Manakala semua kakitangan di premis berkenaan akan menjalani saringan serta kuarantin kendiri selama 14 hari sebagai langkah berjaga-jaga.

Sementara itu, pihak pengurusan Paradigm Mall memaklumkan siasatan awal mendapati, rakan serumah kakitangan berkenaan telah pulang dari Sabah pada 27 September lalu.

Maklumat lanjut mendapati, kakitangan terbabit telah bercuti pada 27 September hingga 1 Oktober lalu dan mula bekerja pada 2 Oktober.

 
Sumber Facebook ParadigmPJ

"Kami dimaklumkan kakitangan itu telah mengambil cuti tahunan pada 27 September hingga 1 Oktober 2020. Dia mula bekerja pada 2 Oktober 2020 dan pengesanan suhu tidak melebihi 37.5 Celsius dan tidak mempunyai sebarang simptom.

"Bagaimanapun, kakitangan terbabit telah dihubungi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan rakan serumahnya didapati positif COVID-19. Beliau kemudiannya telah bercuti pada 3 Oktober 2020 dan menjalani saringan kesihatan," katanya.

Ketika ini, pengesanan kontak rapat sedang dijalankan mengikut ketetapan KKM manakala premis berkenaan dijalankan proses disinfeksi.

Paradigm Mall jelasnya telah menjalankan prosedur operasi standard (SOP) dengan mengamalkan proses sanitasi setiap dua jam, pengesanan suhu, sanitasi tangan serta penggunaan aplikasi MySejahtera.