KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lagi individu bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan seorang lelaki di sebuah hotel di Sunway Mentari, Petaling Jaya pada 8 Julai lepas.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Shamsudin Mamat berkata, lelaki berusia 40-an itu ditahan pada Isnin lepas dan direman empat hari hingga esok bagi membantu siasatan.
Beliau berkata tempoh reman dua lelaki berusia 20-an dan 30-an yang ditahan sebelum ini tamat hari ini, dan akan disambung bagi membantu siasatan.
“Kertas siasatan berhubung kes ini akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam minggu ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan, seorang lelaki berusia lingkungan 30-an ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah hotel sebelum dilaporkan meninggal dunia pada 11.23 malam.
Pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan kecederaan pada tubuh badan mangsa, dan hasil bedah siasat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) mengesahkan punca kematian disebabkan cedera parah akibat impak objek tumpul.
-- BERNAMA