MALAYSIA

Seorang lagi suspek kes belasah pelajar Tingkatan Lima didakwa

Sinar Harian 05/06/2025 | 06:30 MYT
Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret di Seremban pada Khamis. - Foto Sinar Harian
SEREMBAN: Seorang lagi suspek disyaki terbabit membelasah seorang pelajar Tingkatan Lima hingga parah Mei lalu dihadapkan di Mahkamah Majistret pada Khamis.


Ringkasan AI
  • Pendakwaan suspek terbaru: Seorang lagi suspek, Syazwan Asyraf Mohd Norazham, 21, dihadapkan ke Mahkamah Majistret dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan seorang remaja berusia 17 tahun pada 8 Mei lalu.
  • Latar belakang kes dan siasatan: Kejadian berlaku di Gelanggang Futsal Kampung Sentosa Jaya, dipercayai berpunca daripada selisih faham. Sebelum ini, polis telah menahan 10 individu, termasuk remaja bawah umur, bagi membantu siasatan.
  • Keputusan mahkamah: Mahkamah membenarkan ikat jamin RM5,000 dengan syarat suspek tidak boleh mendekati mangsa sehingga kes selesai. Kes akan disebut semula pada 7 Julai untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.


Tertuduh, Syazwan Asyraf Mohd Norazham, 21, membuat pengakuan tidak bersalah sebaik kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Majistret Saiful Sayoti.

Mengikut pertuduhan, suspek bersama yang masih bebas dengan sengaja telah menyebabkan cedera parah ke atas seorang mangsa lelaki berusia 17 tahun.

Kesalahan itu dilakukan di Gelanggang Futsal Kampung Sentosa Jaya di Seremban lebih kurang jam 11 malam pada 8 Mei lalu.

Suspek didakwa di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Akta sama. Jika sabit kesalahan, suspek boleh dipenjara maksimum tujuh tahun dan didenda.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Fidha Misjedi, memohon tertuduh diikat jamin dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan suspek tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nurulain Anuar yang mewakili tertuduh, memohon agar wang jaminan paling rendah dikenakan ke atas tertuduh atas alasan perlu menanggung ibu, ayah, serta lapan adik-beradik lain.

"Untuk hari ini, ibu dan adik OKT (orang kena tahan) ada datang untuk ikat jaminnya. Ibu berusia 46 tahun merupakan seorang suri rumah manakala adiknya, 19 tahun, bekerja sebagai jurukimpal dengan pendapatan RM1,000 sebulan.

"OKT serta adiknya perlu menanggung mak, ayah serta lapan adik-beradik lain. Justeru, mohon wang jaminan paling rendah dan munasabah diberikan," katanya.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM5,000 berserta syarat tambahan tidak boleh mendekati mangsa sehingga kes selesai.

Kes ditetapkan 7 Julai depan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Sebelum ini, media melaporkan kejadian itu tular di media sosial selepas mangsa, seorang remaja berusia 17 tahun, mengalami cedera di bahagian muka akibat dipukul secara beramai-ramai oleh sekumpulan lelaki.

Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada selisih faham antara mangsa dengan salah seorang suspek yang menyangka mangsa telah mencederakan adiknya.

Susulan kejadian itu, polis menahan 10 lelaki, termasuk remaja berusia 17 tahun, bagi membantu siasatan.
Ia disusuli lima sekawan, termasuk dua remaja lelaki bawah umur, didakwa di Mahkamah Majistret atas dua pertuduhan pada 14 Mei lalu. -- Sinar Harian




#belasah pelajar Tingkatan Lima #gelanggang futsal #Seremban #Tertuduh Syazwan Asyraf Mohd Norazham