Seorang lelaki dikhuatiri lemas di Kuala Krau

Bernama
Disember 23, 2021 02:25 MYT
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa diaktifkan dengan menggunakan teknik pencarian di permukaan sungai. - Gambar hiasan
KUANTAN: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas didakwa hilang semasa mandi di sungai berhampiran jambatan kereta api Kuala Krau, Temerloh, petang semalam.
Penolong Pengarah Operasi abatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Ismail Abdul Ghani berkata perkara itu dimaklumkan polis kepada pihak bomba selepas sepupu mangsa membuat laporan kehilangan mangsa pada pukul 6.15 petang.
Beliau berkata pihaknya telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dengan menggunakan teknik pencarian di permukaan sungai.
"Namun operasi terpaksa ditangguhkan pada 7.30 petang ekoran cuaca mulai gelap," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Ismail berkata terdapat satu kejadian tanah runtuh dilaporkan di laluan utama berhampiran Petron Genting Permai di Genting Highlands, namun tidak melibatkan mangsa.
Katanya laluan berkenaan telah dibuka kepada pengguna pada 10 malam tadi walaupun kerja pembersihan masih berjalan.
-- BERNAMA
#lemas #mandi sungai #JBPM #operasi mencari dan menyelamat