MALAYSIA

Seorang lelaki, wanita ditahan miliki dadah

Bernama 02/01/2026 | 10:15 MYT
Seorang lelaki dan rakan wanitanya ditahan kerana memiliki dadah, di Jalan Felda Kerteh Ketengah Jaya, hari ini. - Foto hiasan
DUNGUN: Seorang lelaki dan rakan wanitanya ditahan kerana memiliki dadah, di Jalan Felda Kerteh Ketengah Jaya, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Maizura Abdul Kadir berkata pasangan berusia 33 dan 39 tahun yang dipercayai pengedar dadah itu ditahan pada 1 pagi tadi.

"Hasil pemeriksaan, polis menemukan sejumlah pil disyaki dadah jenis Yaba dengan berat keseluruhan 178.68 gram bernilai RM13,401," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata suspek lelaki didapati positif methamphetamine, manakala wanita itu negatif dadah.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sumber bekalan dan rangkaian pengedaran yang terlibat," katanya sambil memaklumkan kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA


#Lelaki ditahan #miliki dadah #Jalan Felda Kerteh Ketengah Jaya #Polis Daerah Dungun