Seorang pemuda maut manakala empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta dan sembilan motosikal di Kilometer 8.0 Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) arah Bagan Ajam, di sini, awal pagi tadi.

Mangsa yang berusia 20 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah di badan.

Menurut sumber polis, kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 pagi ketika mangsa yang sedang menunggang motosikal dari arah Bagan Ajam terlanggar sebuah motosikal yang ditunggangi dua lelaki di hadapannya.

Perlanggaran itu menyebabkan mangsa serta dua lelaki terbabit terjatuh ke atas jalan raya.

Pada masa yang sama, sebuah kereta jenis Audi berwarna putih yang datang dari arah sama, gagal mengelak dan melanggar mangsa sebelum melarikan diri.

Lebih malang, apabila kemalangan itu turut melibatkan sebuah lagi kereta dan tujuh motosikal lain yang gagal mengelak apabila turut terlanggar kedua-dua motosikal tersebut.

Mayat mangsa yang meninggal dunia dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat.