Seorang maut, dua parah kereta bertembung van di Yan

Adie Sufian Zulkefli
Mei 31, 2020 09:14 MYT
Keadaan kereta dan van yang bertembung dalam kemalangan di Jalan Yan Kechil, Yan, Kedah pada Ahad menyebabkan seorang maut manakala dua lagi cedera parah. - Gambar Astro AWANI
Seorang maut manakala dua lagi parah dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan bertembung di Jalan Yan Kechil, berhampiran Hospital Yan pada petang Ahad.

Mangsa yang maut merupakan pemandu kereta Proton Iswara yang mengalami kecederaan parah di kepala selepas kereta dipandunya terperosok di hadapan sebuah van.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain, dalam kejadian pada pukul 1.20 petang itu, mangsa yang berusia 30-an maut di tempat kejadian manakala dua lagi mangsa iaitu penumpang kereta Proton Iswara itu dan pemandu van mengalami kecederaan parah.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, anggotanya mendapati kemalangan melibatkan kedua-dua kenderaan itu dipercayai berlanggar antara satu sama lain.

Jelas Mohamadul Ehsan, anggotanya terpaksa memotong besi dengan menggunakan ‘Rescue Tools’ untuk mengeluarkan ketiga-tiga mangsa yang tersepit.

Beliau berkata, pemandu kereta Proton Iswara itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas kesihatan, manakala seorang mangsa yang menaiki kereta berkenaan berusia 30-an pula cedera serta pemandu van berusia 50-an turut mengalami kecederaan.

Kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Yan untuk rawatan selanjutnya.

Manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

#dua cedera parah #Jalan Yan Kechil #Kedah #kemalangan #kereta #kereta bertembung #seorang maut #van #Yan