Seorang maut, empat cedera dalam nahas tiga kereta

Muhammad Aiman Hakeem
Mac 27, 2023 23:46 MYT
Keadaan salah sebuah kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Parit Jalil, Parit Sulong, Batu Pahat, petang Isnin. - Foto ihsan bomba
BATU PAHAT: Seorang lelaki maut manakala empat lagi cedera dalam satu insiden kemalangan jalan raya membabitkan tiga kenderaan di Jalan Parit Jalil, Parit Sulong, di sini, petang semalam.
Komander Operasi daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng, Pegawai Bomba Kanan Dua, Badrul Hisyam Loi Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 3.48 petang.
Beliau berkata, kemalangan mengakibatkan seorang lelaki tersepit di dalam sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback dan disahkan maut di lokasi kejadian.
"Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak menyelamatkan mangsa tersepit dengan menggunakan peralatan khas dan mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
"Seorang lagi lelaki yang berada di dalam Proton Wira dilaporkan cedera serta berjaya keluar dari kenderaan terbabit sebelum pasukan menyelamat tiba.
"Sebuah kereta Perodua Axia yang dinaiki dua lelaki bersama seorang perempuan turut terlibat dalam kemalangan, kesemua mereka didapati mengalami kecederaan.
"Manakala seorang lagi lelaki yang memandu kereta jenis Mazda SUV dilaporkan selamat," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Menurut Badrul Hisyam, operasi menyelamat disertai seramai 21 anggota dari BBP Yong Peng dan BBP Penggaram.
Dalam pada itu, dua buah jentera FRT dan EMRS dibantu dua Unit Rim turut digerakkan ke lokasi kejadian.
Operasi ditamatkan sekitar jam 4.47 petang, sejurus keadaan dipastikan selamat oleh pihak bomba.
#kemalangan jalan raya #Batu Pahat #lelaki tersepit dalam kereta #kemalangan tiga kenderaan