NATIONAL

Seorang maut, empat cedera nahas beberapa kenderaan di Lebuh Raya Utara Selatan

Abd Razak Mohd Ali 19/05/2025 | 23:40 MYT
Seorang maut, manakala empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan beberapa buah kenderaan di Kilometer 366 Lebuhraya Utara-Selatan, antara Sungkai dan Slim River, malam tadi. - Gambar ihsan PDRM
TANJUNG MALIM: Seorang maut, manakala empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan beberapa buah kenderaan di Kilometer 366 Lebuhraya Utara-Selatan, antara Sungkai dan Slim River, malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Muallim, Deputi Superintendan Suhaimi Muhamad, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 malam.
"Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai pemandu treler yang sedang membawa muatan batu kapur dari Simpang Pulai, Ipoh,” katanya.
Beliau berkata, empat lagi mangsa mengalami kecederaan dan menerima rawatan awal di lokasi kejadian
Menurut Suhaimi pihak polis masih menyiasat punca kemalangan.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada 10.36 malam.
Kata beliau, sebaik jentera tiba di tempat kejadian, didapati kemalangan melibatkan sebuah lori 5 tan, dua buah treler dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).
Dalam pada itu, PLUS Malaysia Berhad menerusi akaun X memaklumkan, kemalangan tersebut menyebabkan semua lorong ditutup dan trafik terhenti sepanjang 16 kilometer.
Bagaimanapun, semua lorong telah dibuka pada jam 3.47 pagi, kecuali lorong kecemasan arah selatan masih ditutup untuk kerja pemindahan muatan dan trafik kembali lancar kedua-dua arah.
#kemalangan #seorang maut #empat cedera #Lebuh Raya Utara Selatan