Seorang maut, lapan cedera nahas empat kenderaan

Sinar Harian
Januari 22, 2024 00:00 MYT
Keadaan dua kenderaan yang terlibat nahas melibatkan empat kenderaan di Kampung Baru Sungai Karas, Jambatan Sungai Karas, Labis, petang Ahad. - Foto BBP Labis
SEGAMAT: Seorang lelaki maut, lapan termasuk tiga kanak-kanak cedera manakala tujuh lagi terselamat dalam nahas melibatkan empat kenderaan di Kampung Baru Sungai Karas, Jambatan Sungai Karas, Labis, pada petang Ahad.
Menurut Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan I Khas Untuk Penyandang (KUP), Zakaria Mohamed dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Labis, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan itu melalui talian MERS999 pada 21 Jan, jam 3.41 petang.
"Sebaik menerima panggilan tersebut, satu jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Labis dengan lapan anggota telah dihantar ke lokasi.
"Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian didapati terdapat kemalangan jalan raya melibatkan empat kenderaan, jenis iaitu Perodua Alza, Toyota Hilux, Proton Persona dan Mitsubishi Expander," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, terdapat seorang mangsa tersepit dari Perodua Alza dan pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa dengan menggunakan rescue tools.
"Bagaimanapun, mangsa tersebut telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi," katanya.
"Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Katanya, mangsa-mangsa lain yang cedera telah dihantar menggunakan ambulans ke hospital berhampiran bagi menerima rawatan selanjutnya.
"Operasi ditamatkan sekitar jam 6.07 petang, Ahad," katanya. - Sinar Harian
#kemalangan maut #Labis #BBP Labis #bomba