TAPAH: Seorang maut manakala tujuh lagi cedera dalam kemalangan yang melibatkan tiga buah kenderaan di Jalan Bikam-Sungkai, dekat sini, hari ini.

Mangsa, Norliza Nawayi@Nawawi, 42, disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Nasir Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada 8.56 pagi.

Menurutnya, kemalangan melibatkan sebuah Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) jenis Toyota Vellfire, Kenderaan Serba Guna (MPV) jenis Toyota Avanza dan kereta jenis Honda Jazz.

“Terdapat lapan mangsa yang terlibat, tujuh mangsa mengalami kecederaan manakala seorang mangsa maut di lokasi dan tiada mangsa tersepit,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mangsa, Norliza Nawayi@Nawawi, 42, disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan. - Foto JBPM
Menurutnya lagi, anggota bomba bertindak memasang ‘cervical collar’ kepada pemandu Toyota Avanza dan menyerahkannya kepada ambulan Kementerian Kesihatan.

Tambahnya, mangsa maut yang juga penumpang Toyota Avanza diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Mohd Nasir berkata, selain pemandu Toyota Avanza, mangsa lain yang cedera ialah pemandu serta tiga penumpang Toyota Vellfire, termasuk dua kanak-kanak dan pemandu serta penumpang Honda Jazz.

Operasi bomba tamat sepenuhnya 10.41 pagi.