NATIONAL

Seorang maut, tujuh parah kemalangan van dan bas

Afiezy Azaman 21/03/2025 | 02:45 MYT
Setibanya di lokasi, bomba mendapati terdapat 13 orang di dalam van jenis Toyota Hiace ketika kejadian. - Foto JBPM
KUALA LUMPUR: Seorang maut manakala tujuh lagi parah dalam kemalangan melibatkan sebuah van pekerja yang bertembung dengan sebuah bas pekerja di Jalan Pulau Meranti, Puchong.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.41 pagi, pada Jumaat.

Katanya, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberjaya telah digerakkan ke lokasi dengan jentera pertama tiba pada 6.51 pagi.

"Setibanya di lokasi, bomba mendapati terdapat 13 orang di dalam van jenis Toyota Hiace ketika kejadian.

"Seorang daripada penumpang yang tersepit meninggal dunia manakala tujuh yang lain termasuk pemandu van mengalami kecederaan parah dan selebihnya hanya cedera ringan.

"Pemandu bas berkenaan pula berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Ahmad Mukhlis berkata, mayat mangsa dan mereka yang parah telah dihantar ke Hospital Putrajaya.

"Kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," ujarnya.





#Nahas #van pekerja #bas pekerja #tersepit