MALAYSIA

Seorang maut, tujuh parah van kilang terbabas

Sinar Harian 01/12/2025 | 01:40 MYT
Van kilang yang dinaki mangsa hilang kawalan lalu terbabas sehingga mengorbankan seorang pekerja kilang. - Foto Sinar Harian
GEORGE TOWN: Seorang pekerja kilang maut manakala tujuh lagi cedera parah selepas sebuah van kilang yang dinaiki mereka terbabas dalam kemalangan di Jalan Mount Erskine di sini awal pagi Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, van kilang berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas, menyebabkan empat daripada lapan mangsa tersepit di dalam kenderaan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.59 pagi sebelum sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal dan BBP Lebuh Pantai digerakkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, pasukan mendapati berlaku kemalangan melibatkan sebuah van kilang dengan lapan mangsa terlibat.

"Empat mangsa didapati tersepit dan kerja menyelamat dijalankan menggunakan peralatan khas," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambahnya, kesemua mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 7.17 pagi sebelum diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan polis untuk tindakan selanjutnya.

"Tujuh mangsa yang cedera parah terdiri daripada seorang lelaki iaitu pemandu van dan enam pekerja wanita berusia lingkungan 21 hingga 52 tahun. Sementara seorang lagi pekerja wanita disahkan meninggal dunia di lokasi. Identiti mangsa yang maut belum dikenal pasti.

"Operasi menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.50 pagi. Kes diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut," ujarnya. - Sinar Harian






#van kilang terbabas #pekerja kilang maut #Jalan Mount Erskine #JBPM Pulau Pinang