NATIONAL
Seorang parah, tiga cedera khemah jual mercun terbakar
Kebakaran melibatkan kanopi berukuran 20x20 kaki persegi itu telah padam sepenuhnya sebelum ketibaan pihak bomba. - Foto JBPM
KUALA LUMPUR: Seorang parah manakala tiga lagi cedera selepas sebuah khemah menjual mercun mengalami kebakaran di Kampung Batu 9, Pekan Sabak Bernam, awal pagi, pada Rabu.
Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.08 pagi sebelum satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sabak Bernam tiba di lokasi kejadian pada pukul 1.14 pagi.
Kebakaran melibatkan kanopi berukuran 20x20 kaki persegi itu telah padam sepenuhnya sebelum ketibaan pihak bomba. Jarak antara balai bomba dan lokasi kejadian dianggarkan sejauh empat kilometer.
"Insiden tersebut melibatkan empat orang mangsa lelaki yang berusia sekitar 20-an.
"Seorang daripada mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kaki kiri, kaki kanan dan tangan kanan, manakala tiga lagi mangsa mengalami kecederaan ringan," katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Ahmad Mukhlis berkata, kesemua mangsa telah diberikan rawatan awal sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.
"JBPM Negeri Selangor mengingatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah keselamatan semasa mengendalikan bahan mudah terbakar seperti mercun bagi mengelakkan kejadian tidak diingini," ujarnya.