Seorang pelajar pengsan, lima muntah dipercayai terhidu gas kimia

Astro Awani
Mac 7, 2019 06:02 MYT
Pelajar yang mengalami kesan terhidu bahan kimia diberi rawatan segera. Foto JBPM
Seorang pelajar lelaki jatuh pengsan manakala lima lagi muntah-muntah dipercayai akibat terhidu gas kimia di kawasan Taman Pasir Putih, di Pasir Gudang, dekat sini, pagi ini.
Menurut laporan awal, terdapat kebocoran gas dan tumpahan bahan kimia itu yang diterima di kawasan Sungai Kim Kim yang berhampiran.
Timbalan Ketua Zon 1 Penguasa Bomba Lokman Hakim Sulaiman berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira kira pukul 5 pagi tadi.
Empat pegawai bersama pasukan Hazmat, dibantu Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang, bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan.
"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan bahan kimia. Gas yang dikesan adalah jenis metana.
"Pengosongan kawasan telah dilakukan dalam jarak 500 meter, melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Pasir Putih dan Sekolah Kebangsaan Taman Pasir Putih," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kedua-dua sekolah berkenaan dipercayai mempunyai sejumlah kira-kira 1,400 pelajar dan guru.
Pelajar yang pengsan telah dihantar ke Hospital Sultan Ismail untuk menerima rawatan.
#bahan kimia #bomba #guru #Hospital #kebocoran gas #Lokman Hakim Sulaiman #metana #muntah #Pasir Gudang #pelajar #pengsan #sekolah #terhidu gas kimia #tumpahan