Kedutaan Malaysia di New Delhi India, hari ini mengesahkan laporan seorang warga Malaysia telah terbunuh di Kabul, Afghanistan selepas diculik.

“Warga Malaysia itu sedang bekerja di Kabul dan diculik bersama dua warga negara lain awal minggu ini.

“Mayat mangsa telah ditemukan di Mussahi kira-kira 33 kilometer dari Kabul pada Khamis, 2 Ogos 2018,” menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Luar hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, sehingga kini masih belum ada pihak yang mengakui bertanggungjawab keatas insiden itu.

Pihak Kedutaan Malaysia di New Delhi kini sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Afghanistan untuk mendapatkan perkembangan terbaru dan berusaha membawa pulang mangsa.

Sebelum itu, tiga warga asing, termasuk rakyat Malaysia dilaporkan terbunuh selepas diculik di Kabul, Afghanistan pada Khamis, lapor Xinhua yang memetik media tempatan.

"Tiga warga asing yang bekerja di Kabul dibunuh oleh lelaki bersenjata tidak dikenali pada pagi Khamis," lapor saluran televisyen Tolo News.

Menurut laporan mangsa termasuk seorang warga India, Malaysia dan Macedonia, yang bekerja dengan sebuah syarikat. Bagaimanapun, polis belum membuat sebarang kenyataan berhubung laporan itu.