[TERKINI] Amir Hamzah Jalankan Tugas Menteri Ekonomi Berkuat Kuasa Serta-Merta – RMK13 Jadi Tumpuan | Berita Lanjut di Sini
MALAYSIA

Sepak takraw: Mohamad Azlan diberi surat tunjuk sebab susulan penampilan kontroversi

Bernama 04/06/2025 | 06:48 MYT
Mohamad Azlan disahkan mengalami keretakan tulang di siku kiri susulan insiden ketika aksi final acara regu berpasukan kejohanan sepak takraw Piala Asia 2025 bulan lepas. - Foto Bernama
KAJANG: Pemain apit kanan negara Mohamad Azlan Alias diminta mengemukakan sebab susulan membuat penampilan bersama Melaka Titans dalam saingan liga domestik, walaupun disarankan berehat selama dua bulan berikutan kecederaan dialaminya bulan lepas.

Ringkasan AI
  • Mohamad Azlan diminta beri penjelasan: Pemain apit kanan negara diminta mengemukakan sebab selepas beraksi dalam liga domestik bersama Melaka Titans walaupun disarankan berehat dua bulan akibat kecederaan.
  • Surat tunjuk sebab dari PSM: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) mengeluarkan surat kepada Mohamad Azlan dan kelabnya, memberikan tempoh tujuh hari untuk memberikan maklum balas.
  • Kesan terhadap kejohanan utama: PSM menekankan kepentingan pemulihan Azlan kerana dia diperlukan untuk kejohanan besar seperti Piala Raja Thai dan Sukan SEA, serta bimbang risiko kecederaan berpanjangan.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Mohd Sumali Reduan berkata pihaknya telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Mohamad Azlan dan kelab diwakilinya itu, dan memberikan tempoh tujuh hari bermula semalam bagi memberikan maklum balas berhubung perkara berkenaan.
"Laporan (keretakan) bukan datang dari PSM tetapi dari doktor dan ISN (Institut Sukan Negara), jadi kena hormat (laporan) itu sebab dia (Mohamad Azlan) diperlukan untuk kejuaraan lebih besar, untuk negara dalam saingan Piala Raja Thai (Julai ini) dan Sukan SEA (Disember).
"Kalau dia belum cergas, dia main semula dan mengalami kecederaan pada masa itu, dia kena berehat lebih panjang, siapa nak tanggung? Dia pemain kebangsaan," katanya ketika ditemui pada Majlis Program Komuniti STL (Liga Sepak Takraw) 2025 di gelanggang sepak takraw Taman Mesra di sini hari ini.
Pada masa sama, Mohd Sumali berkata perkara itu juga akan dibawa dalam mesyuarat yang antara lain turut membincangkan tindakan susulan.
Mohamad Azlan disahkan mengalami keretakan tulang di siku kiri susulan insiden ketika aksi final acara regu berpasukan kejohanan sepak takraw Piala Asia 2025 di Stadium Titiwangsa di Kuala Lumpur, bulan lepas dan dijangka berehat selama dua bulan bagi menjalani proses pemulihan.
Bagaimanapun, killer utama negara berusia 27 tahun itu didapati beraksi bersama kelabnya dalam saingan divisyen satu STL baru-baru ini.
"Semua bertanya kenapa dia bermain...jadi ini menghuru-harakan keadaan sebab fikiran semua orang dia sedang mengalami kecederaan dan diberi rawatan sebentar," kata Mohd Sumali.
Sementara itu, program hari ini menyaksikan pemain STL, personaliti televisyen serta penduduk setempat berganding bahu melakukan gotong-royong termasuk mengecat semula dan membaik pulih gelanggang sepak takraw milik Persatuan Penduduk Taman Mesra.
Gelanggang sepak takraw itu dipilih kerana mempunyai nilai sejarah tersendiri dan telah menjadi pusat riadah serta latihan komuniti termasuk melahirkan ramai pemain pelapis berbakat dalam sukan itu sejak lebih 50 tahun lepas.
-- BERNAMA
#apit kanan negara #Mohamad Azlan Alias #surat tunjuk sebab #Persatuan Sepaktakraw Malaysia #kecederaan