Sepasang kekasih ditangkap ketika sedang khayal

Adie Sufian Zulkefli
Mei 17, 2020 03:57 MYT
Pasangan suspek yang masing-masing berusia 19 dan 32 tahun dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi untuk siasatan lanjut.
Sepasang kekasih ditangkap di sebuah rumah di Taman Dahlia, Kuah, di sini ketika sedang khayal dipercayai baru melampiaskan gian dadah.
Ketika serbuan kira-kira pukul 1 pagi Ahad itu dilakukan, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi terpaksa memecahkan pintu besi selepas pasangan itu enggan membuka pintu.
Menurut Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, sebaik memasuki rumah, suspek lelaki bertindak agresif dengan cuma melawan anggota yang ingin menangkapnya.
Katanya, pemeriksaan di atas katil menjumpai satu beg plastik bewarna biru yang mengandungi tiga paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin seberat 20.40 gram serta satu paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 5.35 gram.
Kedua-dua suspek berusia 19 dan 32 tahun itu kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi untuk siasatan lanjut.
Ujian saringan air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
#Dadah #heroin #Kedah #khayal #Langkawi #pasangan kekasih #Syabu #tiga paket plastik lutsinar