[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
MALAYSIA

Seramai 150,557 calon lepasan SPM ditawar tempat ke IPTA - KPT

Bernama 16/06/2025 | 09:00 MYT
Menurut KPT, kemasukan pelajar ke institusi-institusi tersebut dibuat berasaskan prinsip meritokrasi, dengan menyusun semua calon yang layak mengikut markah merit tertinggi hingga terendah. - Gambar hiasan/Bernama
PUTRAJAYA: Seramai 150,557 calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 berjaya mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA), menurut Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Ringkasan AI
  • Seramai 150,557 calon SPM 2024 berjaya ditawarkan tempat ke IPTA, merangkumi 67.33% daripada 223,624 permohonan melalui UPUOnline.
  • Tawaran melibatkan Universiti Awam, Politeknik, Kolej Komuniti dan institusi MARA, termasuk Laluan Khas untuk kategori B40, OKU, atlet dan Orang Asli.
  • Permohonan rayuan dibuka sehingga 25 Jun, manakala pemilihan dibuat berdasarkan prinsip meritokrasi dan 349 program ditawarkan untuk sesi ini.

KPT dalam kenyataan hari ini memaklumkan jumlah itu merangkumi 67.33 peratus daripada keseluruhan 223,624 permohonan yang diterima melalui sistem UPUOnline.
"Daripada jumlah tersebut, 86,589 calon ditawarkan tempat di Universiti Awam (UA), 42,058 di Politeknik, 20,427 di Kolej Komuniti dan 1,483 di institusi di bawah MARA Bahagian Pendidikan Tinggi (MARA BPT).
"Tawaran menerusi Laluan Khas pula melibatkan 17,693 calon, merangkumi 16,189 daripada kategori B40, 590 Orang Kurang Upaya (OKU), 593 atlet dan 321 Orang Asli," menurut kenyataan itu.
Selain itu, seramai 43 calon lepasan institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut ditawarkan tempat di IPTA.
Menurut KPT, kemasukan pelajar ke institusi-institusi tersebut dibuat berasaskan prinsip meritokrasi, dengan menyusun semua calon yang layak mengikut markah merit tertinggi hingga terendah.
"Secara keseluruhannya, sebanyak 349 program pengajian ditawarkan bagi sesi ini, meliputi 41 program sijil, 55 program asasi, 252 program diploma dan satu program ijazah sarjana muda," menurut kenyataan itu.
Bagi calon yang tidak menerima sebarang tawaran, mereka boleh mengemukakan permohonan rayuan melalui UPUOnline dalam tempoh 10 hari bermula hari ini sehingga 25 Jun ini, sebelum pukul 5 petang.
-- BERNAMA
#tawaran ke IPTA #lepasan spm #Kementerian Pendidikan Tinggi #UPUOnline #terkini