KOTA KINABALU: Cemburu menjadi punca seorang lelaki bertindak menyerang teman lelaki bekas isterinya dengan menggunakan kapak sehingga cedera parah dalam kejadian di bulatan Menara Kinabalu pada malam Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa lelaki berusia 39 tahun mengalami kecederaan di bahagian muka, tangan dan kaki manakala teman wanitanya berusia 30 tahun sempat menyelamatkan diri.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, pasangan itu dikatakan sedang makan di dalam kereta namun diserang oleh tiga lelaki termasuk seorang daripadanya menggunakan kapak.

"Kedua-duanya sempat menyelamatkan diri menuju ke Balai Polis Alamesra dan mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth bagi mendapatkan rawatan.

"Siasatan awal mendapati motif serangan ini dipercayai akibat rasa cemburu iaitu salah seorang suspek merupakan bekas suami kepada wanita terbabit," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mohd Zaidi berkata, susulan kejadian itu pihak polis sedang mengesan tiga lelaki dikenali sebagai Winhal berusia 37 tahun, Abdel Jalali, 27, dan seorang lagi yang belum dikenal pasti.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi pegawai penyiasat iaitu Inspektor Muhammad Khaidir Zakarian di talian 014-8019618," katanya.

Katanya lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan parah dengan menggunakan senjata.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan seorang lelaki ditetak menggunakan kapak dan video mengenai kejadian itu turut tular di media sosial. - Sinar Harian