KUALA LUMPUR : Tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang terus menyerang institusi diraja bukan langkah yang terbaik untuk menyelesaikan sesuatu isu.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah, malah perkara itu sukar diselesaikan akibat perbuatan Ahli Parlimen Langkawi itu sendiri berhubung isu Statut Rom dan ICERD.

“Berkenan isu Statut Rom dan ICERD ini, Tun Mahathir bukan sahaja tidak jujur kepada Majlis Raja-Raja, tetapi Tun juga tidak jujur sepenuhnya kepada rakyat Malaysia.

“Tetapi saya juga adalah seorang bangsa Melayu dan tidak lupa akan tugas saya untuk mempertahankan agama Islam. Itulah sebab saya menentang Statut Rom dan ICERD.

“Perkara yang dibuat secara tergesa-gesa pada ketika itu akan mengugat kesejahteraan rakyat dan menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu,” titah Tunku Ismail menerusi kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, Tunku Ismail turut menyifatkan perbuatan tidak menunaikan janji kepada rakyat lebih dilihat sebagai satu pengkhianatan kepada rakyat Malaysia.

Menerusi hantaran ringkas, Tunku Ismail turut menyatakan akan mengadakan pertemuan bersama Dr Mahathir dalam masa terdekat.

“Apa-apapun saya berdoa semoga Tun panjang umur, sentiasa menghormati semua kaum di Malaysia dan berpegang teguh kepada Perlembagaan Negara. 'I will see you soon, Tun',” titah baginda lagi.