Serang masjid di Palestin: Inilah kebiadaban Israel, tegas Dr Mahathir

Ridauddin Daud
Mei 14, 2021 15:46 MYT
Dr Mahathir berkata, sudah tiba masanya semua negara Islam bersatu dan mencari strategi baharu demi memastikan nasib rakyat di negara berkenaan terbela. - Gambar/ Astro AWANI
SERI KEMBANGAN: Tindakan rejim Zionis menyerang masjid di Palestin ketika umat Islam sedang beribadat dalam bulan Ramadan menyerlahkan kebiadaban Israel.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan tindakan itu juga menunjukkan Israel tidak langsung menghormati rumah ibadat agama lain.
Tegasnya, perbezaan agama harus dihormati namun dengan serangan tersebut, Israel membuktikan mereka sebenarnya tidak pernah peduli.
“Kita patut hormat agama orang lain, kepada mereka cara mereka, kepada kita cara kita. Kita tidak buat sesuatu yang buruk ke atas agama lain tapi nampak Israel tak mahu peduli pun.
“Dia masuk dalam masjid pakai kasut but, lepas tu di baling ‘grenade’, dia tembak. Orang sembahyang bukan bawa senjata, bukan berperang, dia nak pergi sembahyang, menghadap tuhan.
“Apa sebabnya serang masa itu,” katanya kepada Astro AWANI pada Jumaat.
Tambah Dr Mahathir, beliau juga kecewa dengan negara Islam yang seolah-olah tidak ambil berat dengan nasib umat Islam di negara lain.
Jelasnya, negara Islam hanya memberi tumpuan kepada masalah dan permusuhan sesama mereka dan tidak mempedulikan nasib umat Islam lain yang berada di luar lingkungan negara mereka.
Krisis Asia Barat | MyAqsaDefenders sasar kumpul 10 juta bantu Palestin
#Mahathir Mohamad #Palestin #Gaza #serang #Masjid Al-Aqsa #Perdana Menteri #biadab #syawal #Aidilfitri #agama #Zionis #rakyat #menteri #Islam #Ramadan #Israel