[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Serangan anak Rafizi: CCTV tak jelas, identiti suspek masih belum dikenal pasti - KPN

Hasimi Muhamad 17/09/2025 | 06:05 MYT
Mohd Khalid berkata siasatan awal mendapati beberapa pergerakan individu dikesan di lokasi kejadian. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Identiti suspek yang terlibat dalam serangan terhadap anak lelaki bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, masih belum dapat dikenal pasti susulan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang kurang jelas.


Ringkasan AI
  • Identiti suspek serangan terhadap anak Rafizi Ramli masih belum dikenal pasti kerana rakaman CCTV yang kabur, walaupun beberapa pergerakan individu telah dikesan di lokasi kejadian.
  • PDRM sedang menunggu laporan kimia daripada hospital berhubung cecair yang disuntik ke tubuh mangsa dalam insiden pada 13 Ogos lalu.
  • Sebanyak 19 individu telah dirakam keterangan, termasuk ahli keluarga Rafizi, bagi membantu siasatan kes serangan terhadap kanak-kanak berumur 12 tahun itu.


Perkembangan terbaharu itu dimaklumkan oleh Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail terhadap serangan yang berlaku pada 13 Ogos lalu.

Jelas beliau, bagaimanapun siasatan awal mendapati beberapa pergerakan individu dikesan di lokasi kejadian.

"Jadi kita mengesan tentang pergerakan itu (dipercayai suspek) dan kita sedia maklum bahawa ada beberapa individu yang kita kenal pasti melalui rakaman.

"Tetapi rakaman CCTV itu nampak tidak begitu jelas dan tidak dapat dikenali individu berkenaan," katanya dalam sidang media di Dewan Pengaman Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini pada Rabu.

Sementara itu, ditanya sama ada pihak polis telah menerima hasil keputusan cecair yang disuntik kepada anak Ahli Parlimen Pandan itu, Mohd Khalid berkata perkara itu sedang dianalisis oleh pihak hospital.

"Siasatan cecair bahan kimia dibuat oleh pihak hospital," tambah beliau.

Pada 22 Ogos, Mohd Khalid dilapor berkata pihak polis telah merekodkan keterangan daripada 19 individu, termasuk ahli keluarga Rafizi, berkaitan kes serangan terhadap kanak-kanak berumur 12 tahun itu di sebuah pusat beli-belah.

Jelas beliau, pihak polis juga masih menunggu laporan kimia daripada pihak hospital mengenai cecair yang disuntik ke tubuh anak Rafizi semasa serangan itu.





#Rafizi Ramli #anak Rafizi diserang #Ketua Polis Negara #Suspek serang anak Rafizi #terkini