MALAYSIA

Serangan anak Rafizi: ‘Semua pihak kena bersabar’- Dr Dzulkefly

Faida Rahim 25/08/2025 | 10:35 MYT
Dr Dzulkefly ditemui selepas menyaksikan MoU bagi Inisiatif ‘Cancer Care Closer to Community’ antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan Roche Malaysia di sini, hari ini. - Foto Astro AWANI
PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyeru orang ramai agar memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berhubung laporan perubatan kes serangan terhadap anak lelaki Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya bar-baru ini.


Ringkasan AI
  • Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyeru orang ramai agar memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikan siasatan secara telus dan menyeluruh.
  • Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyokong penuh proses siasatan dan rawatan yang sedang dijalankan.
  • Dua lelaki berpakaian hitam dan bertopi keledar menaiki motosikal menyerang dan dipercayai mencucuk mangsa dengan jarum suntikan.


Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyokong penuh proses siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.

“Ia adalah satu yang akan memerlukan masa untuk siasatan dan rawatan, kita perlu mengizinkan siasatan itu berada di atas landasannya.

“Kita kena bersabar sedikit untuk mendapatkan satu dapatan dan hasil yang saya yakin adalah dapat mengadili perkara ini dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi Inisiatif ‘Cancer Care Closer to Community’ antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan Roche Malaysia di sini, hari ini.

Minggu lalu, polis menemukan beberapa petunjuk positf bagi mengesan suspek terlibat dengan kes serangan terhadap anak lelaki bekas Menteri Ekonomi itu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, petunjuk berkenaan diperoleh hasil penelitian dan semakan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan terbabit.

Beliau berkata, setakat ini 19 individu telah dipanggil bagi membantu siasatan kes itu.

13 Ogos lalu, anak lelaki Rafizi berusia 12 tahun itu, diserang dua individu yang menaiki motosikal yang dilaporkan berlaku di tempat menurunkan dan mengambil penumpang di pusat beli-belah itu.




#Kementerian Kesihatan #Dzulkefly Ahmad #Rafizi Ramli #serangan anak lelaki #terkini