[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Serangan Israel di Qatar: Dunia perlu promosi standard etika tinggi - PM

Faida Rahim 11/09/2025 | 02:20 MYT
Perdana Menteri Anwar menegaskan, masyarakat antarabangsa tidak boleh berdiam diri, sebaliknya, perlu memperkukuh prinsip keadilan dan etika dalam semua aspek kehidupan termasuk ekonomi. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Dunia perlu mempromosikan standard etika yang tinggi untuk menyelamatkan masyarakat daripada korupsi endemik dan kekacauan sosial, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Susulan serangan udara Israel ke atas ibu negara Qatar, Doha, Perdana Menteri menyifatkan tindakan Israel sebagai “penampilan kegilaan dan keangkuhan” yang boleh mencetuskan kekacauan serta kekejaman di seluruh rantau, dengan Gaza dan Qatar menjadi antara kawasan paling terjejas.

Tegas beliau lagi, masyarakat antarabangsa tidak boleh berdiam diri, sebaliknya, perlu memperkukuh prinsip keadilan dan etika dalam semua aspek kehidupan termasuk ekonomi.

“Beberapa hari terakhir ini, kita menyaksikan satu negara bertindak dengan kegilaan dan keangkuhan yang boleh mencetuskan kekacauan serta kekejaman di seluruh rantau. Gaza terus menjadi mangsa dan kini Qatar turut terjejas. Dunia seolah-olah lumpuh untuk bertindak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Global Islamic Finance Awards (GIFA) 2025, di sini, pada Khamis.

Anwar menegaskan, Malaysia kekal dengan pendirian tegas menentang kolonialisasi dan agresif Israel serta menyeru masyarakat antarabangsa untuk mempertahankan undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia.

Dalam masa sama, Perdana Menteri turut menyentuh kepentingan membina sistem ekonomi yang lebih adil dan beretika, dengan menekankan peranan ekonomi Islam sebagai alternatif yang berdaya saing dan inklusif.

“Saya amat berpuas hati dengan perkembangan sistem kewangan Islam di Malaysia yang berjaya menggabungkan penyertaan Muslim dan bukan Muslim secara harmoni.

"Ini membuktikan bahawa kita mampu menawarkan alternatif yang lebih relevan dan etikal,” katanya.

Pada majlis itu, Perdana Menteri Anwar turut menyampaikan penghargaan kepada tokoh ekonomi Islam yang juga Pengerusi GIFA, Dr. Humayun Dar atas sumbangan beliau sejak 1983 dalam memperkenalkan pendekatan kewangan Islam yang kini diterima secara meluas.

“Bersama-sama, kita harus memastikan sistem ini terus menjadi bintang keadilan dan harapan untuk seluruh umat manusia,” tambah beliau.

Perdana Menteri turut menutup ucapannya dengan menitipkan doa agar segala usaha membina dunia yang lebih adil dan etikal diberkati serta dipandu oleh nilai-nilai kemanusiaan sejagat.






#Anwar Ibrahim #Israel #Qatar #Gaza