Serangan trem Utrecht: Tiada mangsa rakyat Malaysia - Saifuddin

Astro Awani
Mac 19, 2019 11:02 MYT
Saifuddin berkata Kedutaan Malaysia di Hague berhubung dengan rakyat Malaysia di Utrecht serta pihak berkuasa tempatan yang berkaitan, dan akan terus memantau keadaan.
Tiada rakyat Malaysia yang terbunuh atau tercedera dalam insiden tembakan yang berlaku dalam sebuah trem di bandar Utrecht, Belanda semalam.
Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata Kedutaan Malaysia di Hague telah berhubung dengan rakyat Malaysia di Utrecht serta pihak berkuasa tempatan berkaitan, dan akan terus memantau keadaan.
Saifuddin berkata Malaysia juga menyertai negara lain mengutuk sekeras-kerasnya dan menolak perbuatan kejam itu yang berlaku hanya beberapa hari selepas serangan berdarah pengganas di Christchurch, New Zealand, Jumaat lepas.
"Saya terkejut dan sangat sedih dengan kejadian tembakan itu...Pada masa kesedihan ini, Malaysia bersatu bersama-sama keluarga mangsa, kerajaan dan rakyat Belanda meratapi kehilangan nyawa dan kesengsaraan yang dialami akibat perbuatan itu," katanya dalam kenyataan itu.
Media antarabangsa semalam melaporkan serangan bersenjata dalam sebuah trem di bandar Utrecht pada 10.45 pagi waktu tempatan, mengorbankan tiga orang dan mencederakan lima yang lain.
Pihak berkuasa Belanda kemudian mengesahkan suspek lelaki yang melepaskan tembakan itu ditahan pada Isnin malam.
#Belanda #Malaysia #mangsa #New Zealand #pengganas #rakyat #rakyat Malaysia #Saifuddin Abdullah #trem #Utrecht #Wisma Putra