SARA 2025: Semakan Kelayakan Dibuka – RM100 Dikredit Terus ke MyKad
MALAYSIA

Serbuan Ops Sikaro hasil kejayaan tangkapan pegawai kanan perisikan ATM - Azam Baki

Bernama 21/08/2025 | 09:00 MYT
Azam berkata, pihaknya tidak menunggu lama selepas memperoleh maklumat berkenaan dan melakukan serbuan di 14 lokasi di Johor dan Lembah Klang bersama agensi kerajaan termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Bank Negara. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Kejayaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) melumpuhkan sindiket penyeludupan tembakau, rokok dan cerut dalam serbuan di sekitar Lembah Klang dan Johor, Selasa lepas merupakan hasil siasatan lanjut terhadap pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ditahan melalui Ops Sohor pada 14 Ogos.


Ringkasan AI
  • SPRM melumpuhkan sindiket penyeludupan tembakau, rokok dan cerut melalui Ops Sikaro hasil siasatan lanjut terhadap pegawai kanan ATM yang ditahan dalam Ops Sohor, dengan kerjasama agensi seperti Kastam, Bank Negara dan LHDN.
  • Serbuan di 14 lokasi sekitar Johor dan Lembah Klang membawa kepada pembekuan akaun bank bernilai kira-kira RM218 juta, dan siasatan sedang dijalankan terhadap pengubahan wang haram melibatkan pegawai kastam dan syarikat pengimport.
  • Ketua Pesuruhjaya SPRM menegaskan tindakan pantas diambil bagi memenuhi harapan masyarakat, dan menekankan keperluan kerjasama pelbagai agensi untuk membanteras penyeludupan yang merugikan hasil negara.


Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata pihaknya tidak menunggu lama selepas memperoleh maklumat berkenaan dan melakukan serbuan di 14 lokasi di Johor dan Lembah Klang bersama agensi kerajaan lain, antaranya Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Bank Negara dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

"Ops Sikaro merupakan kejayaan daripada hasil risikan dan siasatan SPRM terhadap individu yang ditahan dalam Ops Sohor, yang disyaki membocorkan maklumat operasi kepada penyeludup yang membawa masuk barangan larangan seperti dadah, rokok serta barang-barang lain dari negara jiran.

"Saya hendak tekankan bahawa kami cuba bertindak secepat mungkin, seminggu selepas maklumat diperoleh, persepsi masyarakat nak lihat kepada tindakan SPRM dan kami telah lakukan sebaik mungkin dan berharap masyarakat memahami tentang kekangan yang dihadapi," katanya dalam sesi khas bersama media di sini hari ini.

Kerjasama pelbagai agensi menurut Azam, amat diperlukan agar usaha membasmi kegiatan penyeludupan, yang menyebabkan kerugian kepada hasil negara dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Pada 13 Ogos, media melaporkan SPRM telah melumpuhkan sindiket penyeludupan didalangi pegawai-pegawai kanan perisikan ATM yang bertugas di selatan tanah air melalui Ops Sohor.

Operasi itu dijalankan Bahagian Perisikan, Ibu Pejabat SPRM dengan bantuan pasukan Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS).

Menurut sumber, lima pegawai kanan tentera dan lima orang awam termasuk seorang warga Indonesia berusia antara 30 sehingga 55 tahun ditangkap di sekitar Lembah Klang.

Pada Selasa beberapa premis di sekitar Lembah Klang dan Johor digempur SPRM menerusi Ops Sikaro, bagi membanteras kegiatan penyeludupan tembakau, rokok serta cerut.

Susulan operasi itu, SPRM telah membekukan beberapa akaun bank milik persendirian dan akaun syarikat melibatkan nilai kira-kira RM218 juta dan sedang menyiasat bagi mengesan aset lain yang diperoleh melalui aktiviti pengubahan wang haram oleh pegawai kastam yang disyaki terlibat, serta syarikat pengimport.

-- BERNAMA


#Ops Sikaro