Serbuan terhadap peniaga warga asing langkah paling realistik - Saifuddin

Bernama
April 29, 2019 12:17 MYT
Saifuddin dan Timbalan Naib Canselor (HEPA) UniSZA Prof Madya Dr Mohd Afandi Salleh (kiri) menyerahkan bungkusan makanan kepada mahasiswa selepas Pelancaran 'Food Bank' Siswa di UniSZA hari ini. --fotoBERNAMA
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan terus melakukan serbuan di pasar borong bagi mengekang lambakan peniaga warga asing.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata buat masa ini, tindakan itu adalah langkah paling realistik dan praktikal memandangkan pihaknya kekurangan anggota.
"Untuk cadangan letak anggota KPDNHEP di pasar borong misalnya, kita ada 2,294 anggota.
"Bolehkah kita letak terus 24 jam, 30 hari, 365 hari untuk jaga satu pasar borong sedangkan pada masa sama sempadan negara bolos dengan isu penyeludupan, barangan tiruan masih berlaku, lambakan yang perlu diambil tindakan?
"Jadi saya fikir tindakan yang lebih praktikal untuk banteras perkara ini ialah melakukan serbuan secara berjadual melibatkan penguat kuasa DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur), PBT (Pihak Berkuasa Tempatan), polis, imigresen.
"Laporan media juga kita alu-alukan sebagai maklum balas berhubung kehadiran peniaga warga asing," katanya.
BACA: Tindakan tegas terhadap peniaga 'cili plastik' - KPDNHEP
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Perdana Gerakan Pengguna Siswa 2019 dan Food Bank Siswa di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini hari ini.
BACA: Kumpulan gangster didalangi warga asing di Pasar Borong KL dikenal pasti
Isu peniaga warga asing di pasar borong Selayang terus mendapat perhatian kerajaan setelah didedahkan media pada awal tahun ini sehingga tertubuhnya satu jawatankuasa khas yang dianggotai empat kementerian iaitu Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Dalam Negeri, KPDNHEP serta Kementerian Wilayah Persekutuan pada 1 April lepas.
Mengulas lanjut, Saifudin berkata setakat ini beberapa serbuan telah dibuat untuk mengatasi masalah itu dan mula menunjukkan hasil apabila jumlahnya dilaporkan berkurangan.
BACA: 73 PATI 'kantoi'!
"Memang serbuan ada dibuat, rampasan ada, tangkapan ada, denda pun ada, namun tindakan ini tidak boleh terhenti setakat itu sahaja. Ia perlu sentiasa dibuat secara bersepadu melibatkan penguat kuasa beberapa agensi yang bertanggungjawab.
"Jadi saya fikir ini (serbuan) adalah tindakan yang lebih praktikal dan kerajaan sentiasa berusaha membanteras kehadiran mereka yang memberi impak dari segi harga kepada peringkat akhir iaitu pengguna," katanya.
-- BERNAMA
#barang tiruan #DBKL #Imigresen #jawatankuasa khas #KPDNHEP #pasar borong #penyeludupan #Saifuddin Nasution Ismail #Selayang #serbuan #warga asing