Dua serpihan yang dijumpai di Mozambique berkemungkinan besar milik pesawat Malaysia Airlines MH370 kerana kedua-dua bahagian itu konsisten dengan komponen pesawat Boeing 777.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata ia disahkan pasukan Geosains Australia dan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) selepas pemeriksaan ke atas serpihan itu selesai semalam.

Liow berkata, ini berdasarkan siasatan beberapa agensi termasuk Pasukan Penyiasatan Keselamatan ICAO Annex 13 Malaysia.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap dimensi, bahan, pembinaan dan cat penstensilan pada kedua-dua bahagian berkenaan sepadan dengan pesawat Boeing 777.

"Melalui pengesahan daripada pasukan pakar, saya ingin mengatakan bahawa dua serpihan tersebut berkemungkinan besar milik MH370.

"Melihat kepada corak hanyutan yang kami kaji, di mana ia berakhir di Lautan Hindi, corak hanyutan kedua-dua serpihan ini sepadan dengannya iaitu ia hanyut di kawasan Pulau La Reunion, Mozambique dan ke pantai Afrika Selatan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan pesawat kargo wajah baru milik DRB-HICOM Asia Cargo Express di sini, hari ini.

Sementara itu, Malaysia sudah menghantar satu pasukan ke Afrika Selatan bagi mendapatkan kebenaran membawa pulang satu serpihan yang dijumpai di pesisir pantai negara itu.

Pasukan berkenaan masih menunggu kebenaran daripada Jabatan Penguatkuasa Penerbangan Awam Afrika Selatan (CAA), sebelum membawanya ke Australia untuk pemeriksaan lanjut.

Selain itu, pasukan tersebut juga akan memohon kerjasama daripada Afrika Selatan untuk mencari lebih serpihan di kawasan berkenaan.