Sesi bahas pertama Dewan Rakyat kecoh

Irwan Muhammad Zain
Jun 26, 2013 06:05 MYT
Sesi perbahasan di Dewan Rakyat yang baru bermula hari ini terus kecoh apabila isu menghormati institusi raja disentuh.
Usul ucapan terima kasih dimulakan oleh ahli parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah dari Barisan Nasional (BN).
Sebaik saja Shamsul menyentuh kenyataan ketua pembangkang mengenai ucapan Yang di-Pertuan Agong ketika merasmikan sidang Dewan Rakyat pada Selasa, ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat bangkit dengan peraturan mesyuarat mendesak supaya ucapan tersebut ditarik balik.
"Saya katakan dalam ucapan saya, ketua pembangkang dan rakan-rakannya seolah-olah memperlekehkan ucapan Yang di-Pertuan Agong.
"Saya tidak membuat sebarang tuduhan terhadap ketua pembangkang dan rakan-rakan di sebelah sana," kata Shamsul mempertahankan ucapannya.
Ucapan beliau terus diganggu oleh ahli parlimen Pakatan Rakyat yang memohon peluang untuk mencelah.
Perbahasan terus hangat apabila ahli parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Raden bangun membuat celahan hingga memaksa timbalan speaker, Datuk Ronald Kiandee campur tangan.
Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan membahaskan usul ucapan terima kasih pada sebelah petang.
#Dewan Rakyat #kecoh #Lenggong #perbahasan