Sesi teh tarik, petikan gitar buka tirai kunjungan Lawrence Wong ke Malaysia

Hilmi Malik
September 5, 2022 09:26 MYT
Lawrence Wong dan Tengku Zafrul menunjukkan kemahiran bermain gitar. - Gambar Facebook LAWRENCE WONG
KUALA LUMPUR : Lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong ke Malaysia yang bermula semalam dibuka dengan acara santai termasuk menikmati sajian minuman kegemaran rakyat Malaysia, teh tarik serta alunan petik gitar.
Wong yang juga Menteri Kewangan negara jiran itu menikmati waktu bersama Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Sebelum mengadakan lawatan rasmi ke Kuala Lumpur yang bermula semalam, Wong berkongsi keterujaan beliau untuk bertemu pemimpin-pemimpin negara di akaun media sosialnya.
“Seronoknya menikmati secawan teh tarik ketika bekerja. Malah, saya akan ke Malaysia tidak lama lagi dan tidak sabar bertemu rakan sejawat saya, serta menikmati secawan teh tarik di sana. Jumpa anda tidak lama lagi,” kata Wong sambil menzahirkan kesukaannya terhadap minuman popular Malaysia itu.
Dalam pada itu, hantaran Wong disambut baik Tengku Zafrul yang turut mengalu-alukan permintaan Timbalan Perdana Menteri Singapura itu.
“Hai Lawrence, saya tunggu awak dengan teh tarik Malaysia. Sekali cuba mesti nak lagi,” katanya menerusi hantaran balas.
Sempena kunjungan sulungnya selepas dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Singapura pada Jun lalu, jadual padat menunggu Wong termasuk beberapa pertemuan dengan pemimpin Malaysia bagi membincangkan pelbagai isu termasuk soal ekonomi dan kerjasama dua hala.
Namun, kesibukan tugas rasmi tidak menghalang dua Menteri Kewangan itu meluangkan masa dalam suasana kasual.
“Inilah yang berlaku apabila Menteri Kewangan Singapura dan Malaysia meluangkan masa bersama.
Kami boleh memainkan beberapa lagu bersama-sama!” kata Wong dalam hantaran yang sama.
Beliau turut memuat naik foto dengan Tengku Zafrul bersama gitar masing-masing.
“Terima kasih Tengku Zafrul atas layanan mesra anda dan isteri - hidangan makan malam yang sangat enak begitu juga teh tarik!
“(Saya) menantikan lebih banyak perbincangan dalam dua hari akan datang, dan peluang untuk mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara kita!,” kata Wong lagi.
Wong merupakan pemimpin generasi keempat (4G) republik itu berada di negara ini bagi untuk lawatan kerja empat hari sehingga Rabu bermula semalam (Ahad).
Sepanjang di Kuala Lumpur, Wong dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.
Selain itu, beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta beberapa lagi barisan pimpinan kerajaan.
Singapura ialah rakan dagangan kedua terbesar Malaysia dan terbesar dalam ASEAN, dengan jumlah nilai dagangan berjumlah RM267.11 bilion pada 2021, meningkat 25.2 peratus berbanding 2020.
#Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz #Singapura #Lawrence Wong #Menteri Kewangan