[TERKINI] SPRM Tahan Bekas Ketua Setiausaha Politik Kanan PM – Ikuti Perkembangan di Sini!
MALAYSIA

Set tren pertama ECRL sedia dihantar ke Malaysia, dijangka tiba akhir Disember

Bernama 28/11/2025 | 20:45 MYT
ECRL adalah jajaran sepanjang 665km merentasi empat negeri dan direka bentuk untuk meningkatkan mobiliti penumpang dan kesalinghubungan kargo antara Pantai Timur dan Pantai Barat. - Gambar hiasan/BERNAM
KUALA LUMPUR: Penghantaran set tren pertama Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ke Malaysia merangkumi dua set tren elektrik pelbagai gerabak (EMU) dan dua lokomotif elektrik (E-Loco) dijangka tiba di Pelabuhan Kuantan menjelang akhir Disember ini.


Ringkasan AI
  • Penghantaran set tren pertama Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ke Malaysia merangkumi dua set tren elektrik pelbagai gerabak (EMU) dan dua lokomotif elektrik (E-Loco) dijangka tiba di Pelabuhan Kuantan menjelang akhir Disember ini.
  • EMU dan E-Loco ECRL akan menjalani ujian menyeluruh sebelum digunakan untuk operasi komersial pada Januari 2027, membuka lembaran baharu dalam mempromosikan ECRL sebagai mod pengangkutan hijau bagi penumpang dan kargo.
  • ECRL direka untuk kelajuan maksimum 160km/j bagi tren penumpang dan 80km/j bagi tren kargo, dengan EMU menawarkan kabin kelas perniagaan dan ekonomi serta kemudahan untuk penumpang beragama Islam, sementara lokomotif elektrik dilengkapi sistem keselamatan dan pemantauan milisaat.


Dalam kenyataan bersama pemilik projek ECRL, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan Kontraktor Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan bagi Projek ECRL, China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCCECRL) memaklumkan set tren berkenaan bersedia untuk berlepas dari Pelabuhan Dalian, China dengan proses logistik dijangka mengambil masa kira-kira sebulan.

"Set tren pertama EMU dan E-Loco telah diluluskan untuk penghantaran mengikut jadual selepas menjalani ujian komprehensif dan Laporan Ujian Penerimaan Kilang (FAT) yang baru-baru ini diterima dan disahkan oleh MRL, selaku pemilik aset ECRL," menurut kenyataan itu.

Dibina oleh China Railway Rolling Stock Corporation (CRRC) yang berasaskan platform teknologi CR200J dan HXD3C yang terbukti, EMU dan lokomotif ini diubah suai mengikut iklim, keadaan muka bumi serta keperluan penumpang di Malaysia.

Menurut kenyataan itu, sembilan lagi EMU dijadualkan dihantar pada 2026 manakala baki 10 E-Loco akan dihantar secara berperingkat pada tahun sama, dengan rangkaian rel itu direka untuk kelajuan maksimum 160km/j bagi tren penumpang dan 80km/j bagi tren kargo.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MRL Datuk Seri Darwis Abdul Razak dalam kenyataan sama berkata EMU dan E-Loco ECRL akan menjalani ujian menyeluruh termasuk Fault Free Run (FFR) sejauh 8,000km yang akan dikawal selia oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sebelum digunakan untuk operasi komersial pada Januari 2027.

"Ini akan membuka lembaran baharu dalam mempromosikan ECRL sebagai mod pengangkutan hijau untuk penumpang dan kargo di sepanjang 655km rangkaian rel elektrik," katanya.

Pengarah Urusan CCCECRL Deng Bo pula berkata seiring dengan peralihan Projek ECRL ke fasa pengujian dan pentauliahan, EMU dan E-Loco itu akan memainkan peranan penting dalam memastikan operasi yang selamat dan efisien.

"Kami komited untuk menyediakan sistem rel moden yang dapat meningkatkan kesalinghubungan serta menetapkan penanda aras baharu untuk Malaysia," katanya.

Dilengkapi sistem atas tren yang canggih, EMU menampilkan sistem kawalan rangkaian tren dengan dual redundancy untuk pemantauan masa nyata terhadap sistem tarikan, voltan tinggi dan sistem sokongan.

Lokomotif elektrik pula dilengkapi antara muka manusia-mesin pintar serta pemantauan keselamatan peringkat milisaat bagi sistem brek, perlindungan kebakaran dan penebat voltan tinggi.

Menurut kenyataan itu, EMU direka dengan mengambil kira keselesaan penumpang, menawarkan kabin kelas perniagaan dan ekonomi serta kemudahan untuk kerusi roda, selain turut menyediakan bilik solat bagi penumpang beragama Islam dengan tempat wuduk serta perkhidmatan penyediaan air panas untuk minuman.

Sistem Maklumat Penumpang (PIS) di dalam tren akan memberikan maklumat masa nyata mengenai jadual, laluan dan sebarang kelewatan bagi memastikan penumpang sentiasa dimaklumkan sepanjang perjalanan.

Beliau berkata reka bentuk luaran biru putih pula diinspirasikan daripada landskap pantai dan hidupan liar Malaysia serta memberikan identiti tersendiri ECRL terutamanya bagi komuniti Pantai Timur.

ECRL adalah jajaran sepanjang 665km merentasi empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor dan direka bentuk untuk meningkatkan mobiliti penumpang dan kesalinghubungan kargo antara Pantai Timur dan Pantai Barat.

Kenyataan itu memaklumkan setakat akhir Oktober 2025, projek berkenaan mencapai 89 peratus kemajuan keseluruhan dan dijangka memulakan operasi pada Januari 2027.

-- BERNAMA



#ECRL #tren #Pelabuhan Kuantan #EMU