MALAYSIA

Setahun berlalu, anak mangsa tanah jerlus Masjid India kembali lakukan upacara keagamaan

Umavathi Ramayah 25/08/2025 | 09:17 MYT
Bagi melengkapkan upacara itu, pemuda itu turut dilihat mengedarkan makanan dan minuman kepada orang ramai sebagai anathanam. - Sumber foto Tiktok Sarvaes
'DITELAN' tanah dan 'hilang' sekelip mata.

Kesempatan untuk menatap wajah insan tersayang buat kali terakhir tidak kesampaian buat M.Surya, yang terpaksa akur menghadapi kenyataan bahawa ibunya menjadi korban tanah jerlus di Masjid India di ibu negara, tahun lalu.

Kini, hanya doa menjadi pengikat kasih sayang abadi yang tidak akan pernah pudar.

Baru-baru ini, anak lelaki kepada mangsa kejadian itu diaporkan kembali ke ibu negara untuk memperingati setahun kematian ibunya, G.Vijayalakshmi, 48.

Sekembalinya dia ke Kuala Lumpur, Surya, 25, diaporkan melakukan thavasam, satu ritual agama Hindu yang dijalankan selepas setahun mengikut tarikh dan bintang khusus untuk memperingati pemergian mangsa.

[Mengikut ritual agama Hindu, thavasam merupakan amalan wajib bagi memastikan roh si mati mendapat perjalanan yang aman ke alam seterusnya.]

Menerusi klip video pendek di platform media sosial TikTok, Surya kelihatan meletakkan bingkai gambar ibunya, lengkap dengan kalungan bunga, di lokasi di mana ibunya dipercayai terjatuh.

Klip video itu turut menunjukkan Surya menyajikan buah-buahan, kuih-muih dan makanan yang diletakkan di atas daun pisang untuk pejalan kaki di kawasan berkenaan.

Bagi melengkapkan upacara berkenaan, Surya turut mengedarkan makanan dan minuman percuma kepada orang ramai sebagai anathanam (sedekah).

Pemberian makanan (kebiasaannya berbentuk juadah vegetarian) kepada orang ramai dipercayai membawa keberkatan kepada roh si mati.

Vijayalakshmi, 48, yang berasal dari Kuppam, Andhra Pradesh, India, dilaporkan terjatuh ke dalam lubang benam sedalam lapan meter di salah satu laluan popular di Jalan Masjid India.

Sewaktu kejadian, Surya yang berada di Thailand, terpaksa bergegas kembali ke Malaysia untuk mengikuti perkembangan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama-sama petugas penyelamat di negara ini.

Pada 31 Ogos, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa memaklumkan operasi SAR wanita warga India itu dihentikan serta-merta susulan laporan yang diusulkan kepada Jemaah Menteri termasuk pakar insiden.




#SAR #tanah jerlus #operasi mencari dan menyelamat #Masjid India