Skip to main content

Malaysia

Setia seorang suami, kekuatan seorang isteri: Dari ujian kanser ke Tanah Suci

Jemaah haji Malaysia, Rossilawati Abdul Razak dan suaminya Kamaruzaman Othman, dari Seri Kembangan. Foto Astro AWANI
Kamaruzaman dan Rossilawati ketika ditemui di Mekah, 6 Mei 2026. - Foto Astro AWANI

MEKAH: Di sisi Rossilawati Abdul Razak ketika melangkah ke Tanah Suci, bukan sekadar berdiri seorang suami, tetapi seorang lelaki yang telah memikul seluruh tubuh dan jiwanya sejak hari pertama beliau disahkan menghidap kanser tahap empat.

Pada usia 65 tahun, bekas pesakit kanser rektum itu akhirnya dijemput menunaikan ibadah haji bukan hanya kerana ketabahannya sendiri, tetapi kerana kesetiaan tanpa syarat seorang suami, Kamaruzaman Othman, 66, yang tidak pernah lelah, tidak pernah berpaling, walaupun hari-hari mereka dipenuhi ubat, luka rawatan dan air mata yang disembunyikan.

“Kalau tak ada suami saya ini, saya rasa saya pun tak ada,” kata Rossilawati, suaranya terhenti-henti menahan sebak.

Ujian pasangan jemaah haji dari Seri Kembangan, Selangor ini bermula pada penghujung 2014 apabila Rossilawati disahkan menghidap kanser tahap empat. Tumor yang besar menghalang pembedahan segera, memaksanya menjalani 25 sesi radioterapi dan rawatan kemoterapi sebelum akhirnya dibedah pada 2015.

Sepanjang tempoh itu, Kamaruzaman menjadi pengiring setia, menolak kerusi roda, menyediakan keperluan asas, dan menyaksikan isterinya semakin susut berat badan dan kekuatan dari hari ke hari.

“Berat saya turun dari 80 kilogram (kg) ke 42kg. Saya rasa macam tengkorak yang bergerak,” ujar Rossilawati, mengenang detik paling gelap dalam hidupnya.

Kanser itu pergi, tetapi kesannya kekal. Rossilawati kini hidup dengan beg kolostomi, stent di kedua-dua buah pinggang yang perlu ditukar setiap enam bulan, serta kasut khas berbeza aras akibat tulang paha yang reput.

Impian untuk menunaikan haji pula hampir terkubur apabila setiap pemeriksaan kesihatan diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi. Rayuan demi rayuan dibuat bertahun-tahun, semuanya gagal.

Ketika harapan semakin menipis, mereka memilih untuk berdiam diri.

“Tak berani nak cerita dengan sesiapa. Takut kecewa,” kata Kamaruzaman.

Image
Sumber: BERNAMA
Kamaruzaman menunjukkan selipar yang diubah suai untuk kegunaan isterinya. --fotoBERNAMA

Namun di ruang sunyi itu, doa tidak pernah berhenti. Mereka menyerahkan segalanya kepada Allah, bukan lagi untuk meminta keajaiban, tetapi untuk reda jika impian itu tidak tertulis buat mereka.

Apabila surat tawaran haji akhirnya diterima, Rossilawati menangis bukan kerana terkejut, tetapi kerana mengenang perjalanan panjang yang ditempuh bersama insan di sebelahnya.

I love you, sayang. Saya tak tahu macam mana nak hargai awak,” luahnya, terus kepada suami.

Kamaruzaman sekadar tersenyum, mengenggam tangan isterinya, genggaman yang sama ketika isterinya hampir rebah, ketika rawatan menyakitkan, dan ketika harapan terasa terlalu jauh.

Di Tanah Suci, pasangan ini banyak bergantung kepada kerusi roda dan khidmat upahan. Pergerakan terbatas, ibadah dilakukan dengan penuh berhati-hati. Namun bagi mereka, setiap langkah yang perlahan itu adalah satu bentuk ketaatan.

“Walaupun terpaksa upah, Allah bagi rezeki. Yang penting kami berdua sampai,” kata Kamaruzaman.

Lebih daripada menunaikan rukun Islam kelima, perjalanan ini adalah doa hidup mereka, doa untuk diterima dalam keadaan serba kekurangan, doa agar ibadah yang dilakukan dengan tubuh tidak seperti sebelum ini, tetap sampai kepada Tuhan yang Maha Mengetahui.

Bagi Rossilawati, haji ini bukan lagi tentang kesembuhan jasad, tetapi tentang mencari reda Allah selepas diuji hampir separuh hayatnya.

“Saya datang bukan sebab saya kuat. Saya datang sebab Allah izinkan… dan sebab suami saya tak pernah tinggalkan saya,” katanya.

Di Tanah Suci, doa Rossilawati tidak lagi meminta umur yang panjang atau tubuh yang sempurna.

Doanya sederhana tetapi berat, agar hidup yang penuh cabaran ini berakhir dengan penerimaan Allah, dan agar kesetiaan seorang suami yang berjalan bersamanya di jalan yang berat ini, diberi ganjaran yang tidak terhitung di sisi Allah.

Antara bukti cinta pasangan ini, Kamaruzaman baru-baru ini telah membeli beberapa pasang selipar untuk diikat dan diubah suai, mengikut ketebalan tapak yang sesuai dengan keadaan kaki isterinya itu, yang tidak seimbang.

Ia susulan kejadian sandal khas yang dipakai bagi mengimbangi postur badan Rossilawati tiba-tiba terputus semasa mereka di Madinah, sekali gus menyukarkan pergerakannya yang terbatas akibat kaki kanan yang lebih pendek berbanding kaki kiri.

“Dia ikat selipar itu dengan tali supaya saya boleh berjalan … itulah yang bantu saya bergerak,” kata Rossilawati.

Antara kesan kekal kanser itu ialah, ia telah merebak ke tulang paha, menyebabkan struktur tulangnya rapuh dan tidak seimbang.

Dalam pada itu, Kamaruzaman mengakui, harapan untuk ke Tanah Suci sangat tipis, walaupun selepas melepasi pemeriksaan kesihatan.

“Walaupun keputusan ‘overall’ lulus, ada catatan masalah kesihatan kritikal. Kami sendiri pun tak berani nak cerita pada orang. Di surau pun kami diam. Takut kecewa.”

Image
Sumber: BERNAMA
Kamaruzaman dan Rossilawati menunjukkan selipar yang telah diubah suai kepada pihak media. --fotoBERNAMA

Pasangan ini mempunyai seorang anak Orang Kurang Upaya yang kini dijaga oleh anak sulung mereka. Berat hati meninggalkan anak, tetapi mereka percaya Allah telah menyusun segalanya.

“Bila Tabung Haji minta pasport, buat Nusuk, barulah kami betul-betul rasa dipanggil. Masa surat tawaran keluar, baru kami berani cerita dengan adik-beradik.”

Pada usia perkahwinan lebih 40 tahun, Kamaruzaman tersenyum apabila ditanya apa makna berada di Tanah Suci ini buat hubungan mereka.

“Dekat sini… kami rasa macam bulan madu balik. Macam Allah pulangkan cinta yang pernah letih diuji sakit.”

Dan di kota suci Mekah, di antara langkah yang perlahan dan doa yang panjang, kisah Rossilawati Abdul Razak menjadi saksi bahawa keajaiban bukan tentang kesempurnaan tubuh, tetapi tentang hati yang tidak pernah berhenti berharap kepada Tuhan.

Must Watch Video