Skip to main content

Malaysia

Setiap sumpit ada sentuhan dan cita rasa pemilik

Golongan belia Orang Asli suku Temiar berkumpul beramai-ramai untuk berlatih dan mengasah kemahiran menyumpit ketika ditemui di Pos Belatim baru-baru ini.  - Gambar Bernama
Golongan belia Orang Asli suku Temiar berkumpul beramai-ramai untuk berlatih dan mengasah kemahiran menyumpit ketika ditemui di Pos Belatim baru-baru ini. - Gambar Bernama

Advertisement

GUA MUSANG: Setiap batang sumpit masyarakat Orang Asli suku Temiar mempunyai keistimewaan tersendiri, bukan sahaja dari segi bahan dan ukiran, malah reka bentuknya turut disesuaikan mengikut cita rasa serta keselesaan pemilik.

Bagi Jewi Adi, 45, dari Kampung Chachuh, di sini, menghasilkan sebatang sumpit bukan sekadar kerja membentuk buluh, sebaliknya memerlukan ketelitian dan kesabaran tinggi bagi memastikan setiap perincian disiapkan dengan sempurna.

Beliau berkata proses menghasilkan sumpit mengambil masa sekurang-kurangnya seminggu, bermula daripada mencari bahan di hutan, memotong, mengukur dan membentuk batangnya sebelum dihiasi ukiran mengikut kehendak pemilik.

“Semua kaum lelaki Orang Asli tahu membuat sumpit dan memiliki sumpit mengikut cita rasa masing-masing, kerana kita membuatnya mengikut kehendak dan keselesaan sendiri ketika menggunakannya. Malah, saya sendiri sudah lebih 10 tahun menyumpit dengan sumpit yang sama.

“Ada juga yang lebih suka memiliki sumpit tanpa ukiran, kerana tidak sanggup duduk menghadap batang buluh selama berjam-jam setiap hari,” katanya ketika ditemui pemberita di Pos Belatim baru-baru ini.

Jewi berkata kerja mengukir sahaja boleh mengambil masa tiga hari bagi sebatang sumpit, selain memerlukan ketelitian bagi mengelakkan kesilapan yang boleh menjejaskan hasil akhir.

Beliau berkata proses itu, turut menguji ketahanan fizikal kerana jari boleh terluka, kebas dan sakit ketika melakukan kerja ukiran dalam tempoh yang lama.

Beliau berkata sumpit dihasilkan menggunakan pelbagai jenis bahan, antaranya buluh suor, buluh betung dan kayu rengas, bergantung pada pilihan pembuat.

Sementara itu, Awie Alij, 34, dari Kampung Sempadik berkata penggunaan pisau kecil memudahkan kerja meraut, terutama ketika menghasilkan bahagian basuk, iaitu hulu damak yang menggunakan rotan.

Beliau berkata setiap bahagian perlu dibuat dengan cermat, kerana kesilapan ketika memotong basuk boleh menyebabkan damak tidak berfungsi dengan baik, sekali gus memaksa pembuat menghasilkannya semula.

“Sumpit dan alatannya perlu dihasilkan dengan berhati-hati dan penuh kasih sayang. Kami akan berasa kecewa jika tersilap memotong basuk kerana peluru akan menjadi bocor, tidak laju dan tidak pergi jauh,” katanya.

Awie berkata walaupun kehidupan semakin moden, sumpit masih digunakan oleh masyarakat Orang Asli ketika berburu di hutan, selain dipertandingkan dalam acara tertentu di kampung.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement