KUANTAN: Setiausaha Akhbar Menteri Besar Pahang Datuk Abdul Wahab Mohamad Ali meninggal dunia pada 5.42 petang tadi di Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini, dipercayai akibat kanser darah.

Berita pemergian Abdul Wahab, 61, disahkan oleh wakil Pejabat Menteri Besar Pahang menerusi kenyataan ringkas di aplikasi WhatsApp kepada media di sini hari ini.

Jenazah akan dimandi serta disembahyangkan di Masjid Indera Mahkota 5 di sini, dan dijangka dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Bukit Ubi, malam ini.

Allahyarham yang dilahirkan pada 26 Feb 1961, difahamkan merupakan setiausaha akhbar paling lama pernah berkhidmat iaitu sejak tahun 1995 dan berkerja di bawah tiga Menteri Besar Pahang iaitu Tun Mohd Khalil Yaakob, Datuk Seri Adnan Yaakob dan terkini Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau memulakan kerjaya sebagai Pegawai Berita di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada 1 Sept 1984 di ibu pejabat di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur sebelum ditukarkan ke pejabat Biro Pahang sebagai perwarta negeri pada 1 Jan 1989.

Abdul Wahab kemudiannya kembali ke ibu pejabat pada 1 Okt 1994 sebagai Penolong Editor Meja Berita.

Beliau mula dilantik sebagai Setiausaha Akhbar Menteri Besar Pahang secara pinjaman pada 1 Julai 1995 hingga 31 Mei 2006 sebelum bersara pilihan daripada Bernama pada 1 Jun 2006.

Selepas bersara, Abdul Wahab terus berkhidmat dengan Khalil sehingga tampuk kepimpinan negeri diambil alih oleh Adnan pada tahun 1999, sebelum bersama Wan Rosdy sejak 2018.

-- BERNAMA