Setiausaha PKR Cabang Miri dan bekas calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu, Bill Kayong, ditemui mati ditembak di Miri kira-kira jam 9.20 pagi tadi.

Perkara itu dimaklumkan Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil menerusi aplikasi WhatsApp sebentar tadi.

"KEADILAN baru terima berita bahawa sdr Bill Kayong, calon kerusi N71 Bekenu pada PRN Sarawak yang lalu, telah mati ditembak berhampiran Emart One-Stop Shopping Mall di Senadin, Miri," tulis mesej tersebut.

LAPOR LANGSUNG: Setiausaha PKR Miri, Bill Kayong mati ditembak

Difahamkan beliau telah ditembak di lampu trafik berhampiran pusat membeli belah E-mart di Jalan Permyjaya-Kuala Baram di Senadin, Miri.


Bill telah ditembak di lampu trafik berhampiran pusat membeli belah E-mart.

Pihak Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak (JSJ), SAC Dev Kumar dalam satu kenyataan memaklumkan mangsa ditembak mati jam 8.30 pagi.

Bill yang ketika itu sedang memandu kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota beserta logo PKR, ditembak dari sebelah tingkap pemandu sementara menunggu lampu isyarat bertukar hijau.

Beliau dilaporkan ditembak pada leher dan ditemui rebah pada tempat duduknya kira-kira jam 9.20 pagi.

Dia dilaporkan ditembak di bahagian leher.

Bill, 43 tahun, juga merupakan setiausaha PKR Cabang Miri dan setiausaha politik kepada Ahli Parlimen Miri, Dr Michael Teoh.

Semasa Pilihan Raya Negeri Sarawak yang lalu, beliau telah bertanding di kerusi DUN Bekenu di mana beliau tewas kepada calon Barisan Nasional (BN) Rosey Yunus dalam pertandingan empat penjuru.

Bill dikenali sebagai seorang yang lantang dalam menyuarakan isu-isu masyarakat termasuk isu tanah adat.

Dalam pada itu, PKR dalam satu kenyataan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang.

Parti itu juga menggesa pihak polis supaya memberkas dan membawa mereka yang terbabit ke muka pengadilan.