PUTRAJAYA: Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim memberi jaminan kepada penduduk Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Sungai Baru di Kampung Baru, Kuala Lumpur, yang mendakwa mendapat notis pengosongan kediaman bahawa mereka tidak akan berpindah dalam masa terdekat.

Beliau berkata proses rundingan antara pihak pemaju dan wakil penduduk masih berjalan bagi mencari penyelesaian terbaik untuk kedua-dua pihak.

"Tidak akan berlaku perpindahan dalam bulan puasa, tidak mungkin berpindah selepas raya," katanya kepada media di Program Apresiasi @ Sukarelawan Misi Bantuan Banjir Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Agensi, di sini hari ini.

Sebuah akhbar melaporkan, wakil penduduk mendakwa mereka diarah mengosongkan rumah masing-masing dalam tempoh 21 hari selepas Borang K dikeluarkan Jabatan Tanah dan Galian pada 22 Mac lalu.

Shahidan berkata meskipun hal berkaitan pengambilan tanah bukan dalam bidang kuasa KWP, namun beliau memberi jaminan pihaknya sentiasa menjaga kebajikan penduduk di Wilayah Persekutuan.

Mengenai laporan berita yang menyatakan penduduk flat berkenaan kecewa selepas menerima Borang K (notis bahawa milikan tanah atau peletakhakkan petak telah diambil), Shahidan berkata ia cuma surat pemakluman dan bukan notis pengusiran.

"Ini proses perundangan yang dimaklumkan kepada orang cuma bila dimaklum dalam bulan puasa, orang terkejutlah," katanya.

Mengenai program malam ini, Shahidan berkata 1,496 sukarelawan yang terlibat dalam Misi Bantuan Banjir pada hujung tahun lepas yang diraikan KWP, akan diserap sebagai Duta Komuniti di mana Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) adalah penyelaras program.

Beliau berkata Duta Komuniti itu, penting ketika Fasa Peralihan Ke Endemik untuk bersama-sama memberi penerangan kepada rakyat, untuk terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dan memakai pelitup muka.

-- BERNAMA