KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim meluangkan masa meninjau keadaan di  kawasan terjejas banjir kilat pada petang Isnin.

Dalam ciapan di Twitter Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Shahidan ditemani Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah memantau kawasan yang dinaiki air di underpass di Jalan Tun Razak, di ibu negara. 

Anggota Warden Trafik DBKL turut berada di kawasan terbabit bagi membantu mengawal kesesakan lalu lintas.

Banjir kilat yang mula melanda ibu negara sekitar jam 5 petang tadi menjejaskan sekurang-kurangnya 23 kawasan dan menyebabkan ribuan kenderaan terjejas akibat ditenggelami air.


BACA: Banjir kilat Lembah Klang: Lebih 20 kawasan dinaiki air, PPS dibuka di Dewan Sultan Sulaiman



Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di laman Facebook rasminya memaklumkan setakat 7 malam, sebuah Pusat Pemindahan Banjir telah dibuka di Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru bagi menempatkan penduduk Kampung Periuk. 

Jumlah mangsa banjir dipindahkan setakat jam 6 petang adalah seramai 74 orang.



Sehingga kini, belum dapat dipastikan jumlah kenderaan yang rosak akibat kejadian itu.

Dalam pada itu, beberapa kawasan kediaman di sekitar ibu negara turut dinaiki air.

Turut dibuka Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Kelab Sultan Sulaiman pada petang Ahad.