Shahrir Samad mengaku tidak bersalah

Hilmi Malik
Januari 21, 2020 03:31 MYT
Shahrir mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tidak mengisytiharkan pendapatan RM1 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Razak. -Gambar fail
Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan tidak mengisytiharkan pendapatan RM1 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Razak.
Mengikut pertuduhan, Shahrir dikatakan gagal mengisytihar pendapatan itu melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad berjumlah RM1 juta pada 27 November 2013.
Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-dua sekali.
Mahkamah memerintahkan Shahrir membayar wang jaminan sebanyak RM350,000 bersama seorang penjamin termasuk menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Hakim, Azura Alwi menetapkan tarikh 24 Februari sebagai sebutan semula kes.
Peguam Syahrul Syazwan Salehin mewakili Tan Sri Shahrir manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norzilati Izhani Zainal @Zainol.
Semalam, beliau ditahan jam 11.22 pagi oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas hadir memberi keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan SPRM.
Pertuduhan dibuat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
#AMLATFPUAA #Borang Nyata Cukai Pendapatan #LHDN #Mahkamah Sesyen #Najib Razak #Norzilati Izhani Zainal #pendapatan sebenar #pengubahan wang haram #Shahrir Ab Samad