SINGAPURA: Malaysia memperkukuh hubungan pertahanan dengan lebih 10 negara rakan serta menyertai inisiatif keselamatan infrastruktur bawah laut bersama 16 negara menerusi penyertaannya dalam Persidangan International Institute for Strategic Studies (IISS) Shangri-La Dialogue 2026 yang berlangsung di Singapura dari 29 hingga 31 Mei lalu.
Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan memaklumkan, penyertaan Malaysia dalam persidangan pertahanan paling berprestij di rantau Asia Pasifik itu turut membuka peluang kerjasama industri pertahanan yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan keupayaan pertahanan negara serta pemerkasaan industri pertahanan tempatan.
Delegasi Malaysia diketuai Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang turut mengadakan siri pertemuan dua hala bersama rakan sejawat dan pegawai kanan pertahanan dari Amerika Syarikat, Perancis, Itali, Kanada, Australia, New Zealand, Norway, Republik Czech, Qatar, Singapura dan Thailand.
Menurut kenyataan, perbincangan tertumpu kepada usaha memperkukuh kerjasama pertahanan, meningkatkan perkongsian maklumat strategik termasuk Maritime Domain Awareness (MDA), selain mempererat koordinasi dalam menghadapi cabaran keselamatan serantau dan global yang semakin kompleks.
Salah satu pencapaian utama Malaysia pada persidangan tersebut ialah penyertaan dalam pelancaran Guiding Principles for Underwater Infrastructure Defence Exchanges (GUIDE) bersama 16 negara lain.
Penglibatan itu mencerminkan komitmen Malaysia dalam memperkukuh perlindungan infrastruktur bawah laut kritikal yang menjadi tunjang kepada keselamatan negara, aktiviti ekonomi serta kesalinghubungan global.
Selain kerjasama keselamatan, Malaysia turut memanfaatkan platform berkenaan untuk meneroka peluang kerjasama industri pertahanan melalui pertemuan dengan Embraer Defense & Security.
Perbincangan memberi tumpuan kepada potensi kerjasama yang menyokong pembangunan keupayaan pertahanan negara, pemindahan teknologi serta pengukuhan ekosistem industri pertahanan tempatan.
Pada sesi pleno kelima persidangan, Mohamed Khaled turut menyampaikan pendirian Malaysia mengenai kepentingan pengurusan ketegangan serantau secara bertanggungjawab, pematuhan kepada undang-undang antarabangsa serta keperluan memperkukuh kerjasama keselamatan global bagi memastikan rantau Indo-Pasifik kekal aman, stabil dan makmur.
Penyertaan aktif Malaysia dalam Shangri-La Dialogue 2026 membuktikan komitmen berterusan negara dalam memperkukuh diplomasi pertahanan serta menggalakkan kerjasama pelbagai hala demi menjamin keamanan sejagat.
Pendekatan tersebut selaras dengan Tonggak Ketiga Strategi Pertahanan Negara iaitu Perkongsian Berwibawa yang menekankan kepentingan hubungan pertahanan antarabangsa dalam mempertahankan kedaulatan negara serta memelihara kestabilan serantau.
Turut menganggotai delegasi Malaysia ialah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Seri Malek Razak Sulaiman; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan, Datuk Mohd Yani Daud; Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Leftenan Jeneral Datuk Fazal Abdul Rahman; Ketua Eksekutif Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MIDAS), Laksamana Muda Datuk Yusne Mokhtar serta Asisten Ketua Staf Perancangan Pertahanan Markas Angkatan Tentera Malaysia, Mejar Jeneral Amer Mahmud Abdul Rahman TUDM.