Terkini: Inkues kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

SHMMP Deepavali 2025: Sembilan barang dikawal harga mulai Khamis ini

Bernama 13/10/2025 | 09:48 MYT
Armizan menunjukkan harga maksimum barangan mengikut Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali selepas mengadakan sidang media di SICC hari ini. - Foto Bernama
KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menguatkuasakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2025 bermula Khamis ini, melibatkan sembilan jenis barangan harga terkawal sepanjang tempoh tujuh hari sehingga 22 Okt ini.


Ringkasan AI
  • Pelaksanaan SHMMP Deepavali 2025: KPDN akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan bermula 16 hingga 22 Oktober 2025, melibatkan sembilan jenis barangan kawalan termasuk bawang, cili, tomato dan kelapa.
  • Tujuan dan Pemantauan: Skim ini bertujuan menstabilkan harga barangan keperluan semasa perayaan dan mengelakkan kenaikan harga tidak munasabah; barangan akan dilabel dengan tanda harga merah jambu untuk kemudahan pengguna.
  • Kerjasama dan Subsidi Bersasar: KPDN bekerjasama dengan KPKM untuk pastikan bekalan mencukupi, dan kerajaan turut menekankan reformasi subsidi bersasar agar bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan melalui sistem seperti MyKad.


Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata pelaksanaan skim itu bertujuan memastikan kestabilan harga barangan keperluan pengguna sepanjang musim perayaan serta mengelakkan sebarang kenaikan harga tidak munasabah oleh peniaga.

Beliau berkata barang berkenaan ialah daging kambing biri-biri bertulang import, tomato, cili merah, bawang merah kecil India, bawang merah kecil India jenis ROS, bawang merah besar import, kacang dal Australia, kelapa biji (peringkat borong) dan kelapa parut (peringkat runcit).

"Tahun ini, kita menambah satu lagi barangan iaitu bawang merah kecil India, menjadikan keseluruhan sembilan jenis barangan tersenarai di bawah SHMMP Deepavali 2025," katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Armizan berkata semua barangan terbabit akan dilabelkan dengan tanda harga berwarna merah jambu bagi memudahkan pengguna membuat semakan, selain maklumat lengkap turut dipaparkan menerusi laman web rasmi KPDN, www.kpdn.gov.my.

Beliau berkata skim itu turut mengambil kira libat urus bersama pemain industri bagi memastikan pelaksanaannya tidak menjejaskan operasi perniagaan.

"Kita mahu jaminan bahawa pengguna dapat menikmati harga terkawal yang telah ditetapkan kerajaan. Jika peniaga boleh menjual lebih rendah daripada harga maksimum, itu lebih baik, namun mereka tidak dibenarkan melebihi harga siling yang ditetapkan," katanya.

Menurut beliau, KPDN turut bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memastikan bekalan barangan mencukupi sepanjang musim perayaan.

Sementara itu, menyentuh Belanjawan 2026, Armizan menjelaskan agenda reformasi subsidi bersasar yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah bagi memastikan bantuan kerajaan disalurkan secara lebih tepat kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

"Bukan tujuan utama untuk mengurangkan subsidi kepada rakyat, tapi untuk memastikan penyaluran subsidi itu lebih efektif, sampai kepada golongan sasar dan dapat mengekang ketirisan melalui penyelewengan, penyalahgunaan dan penyeludupan," katanya.

Armizan berkata pelaksanaan bantuan menerusi MyKad bagi program SARA adalah antara inovasi di bawah kerajaan MADANI bagi meningkatkan ketelusan dan keberkesanan agihan subsidi kepada rakyat.

-- BERNAMA





#Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali #Armizan Mohd Ali #kpdn #barangan harga terkawal