NATIONAL
ShowTech Mardi 2025 bermula 29 Mei, pamer teknologi & inovasi terkini
Mohamad Zabawi berkata, ShowTech Mardi 2025 sangat menarik kerana para pengunjung berpeluang menyaksikan lebih 200 teknologi yang sedia dikomersialkan - Foto Mardi
KUALA LUMPUR: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) akan menganjurkan Showcase Teknologi (ShowTech) Mardi 2025 selama lima hari bermula 29 Mei di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) dan ibu pejabatnya.
Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, ShowTech Mardi 2025 merupakan wadah terbaik untuk masyarakat dan pemain industri melihat dan memahami sendiri teknologi-teknologi, inovasi terkini serta inovasi yang telah dibangunkan oleh institut itu sejak lima tahun lalu.
Menurut beliau, penganjuran kali kedua sejak 2023 itu, dijangka menarik kehadiran seramai 500,000 pengunjung dari pelbagai latar belakang masyarakat.
“Program ini sangat menarik kerana para pengunjung berpeluang menyaksikan lebih 200 teknologi yang sedia dikomersialkan, mahupun yang telah dipindahkan kepada masyarakat dan industri akan dipamerkan.
“Pada masa yang sama, masyarakat dan pemain industri boleh bertemu para penyelidik Mardi bagi mendapatkan maklumat dan memberikan input serta maklum balas untuk penambahbaikan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan penghasilan teknologi Mardi,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menambah, aktiviti utama program akan dijalankan di tiga zon iaitu Zon A (Dewan A, dan sekitar Dewan Maeps); Zon B (Laluan Pertanian Moden, Showplot Tanaman Bernilai Tinggi, Showplot Tanaman Industri dan Showplot Pertanian Pintar); dan Zon C (Laman Ternakan, Kids’ Attraction, Laman Herba, Laman Kelulut dan Laman Sayur).
“Di Zon A, iaitu Dewan A Maeps, Show Tech Mardi 2025 akan memfokuskan kepada lapan kluster pameran utama iaitu Kluster Tanaman Bernilai Tinggi, Kluster Tanaman Industri, Kluster Padi & Beras, Kluster Teknologi Makanan, Kluster Pertanian Pintar, Kluster Teknologi Ternakan, Kluster Pemindahan Teknologi dan Kluster Agropelancongan.
“Antara aktiviti di Dewan A termasuk pameran teknologi, demonstrasi teknologi, seminar teknologi dan 'pocket-talk', padanan perniagaan melibatkan syarikat-syarikat dan pemain industri untuk mengambil dan mengembangkan teknologi yang dijana Mardi.
“Turut disediakan Klinik Tanaman, Klinik Usahawan serta jualan pelbagai produk dan hasilan Mardi seperti biji benih, anak pokok dan bahan input pertanian di pavilion jualan berhadapan Dewan A," ujar beliau.
Beliau berkata, pihak MARDI turut menyediakan Laman Kid’s Attraction yang akan menyediakan aktiviti yang sangat menarik dan interaktif bagi kanak-kanak sempena cuti persekolahan penggal tidak lama lagi.
“Antara program yang disediakan ialah Earth Hero (Safe Food Awareness), Agro EduGenius (Career Talk, CSI) dan AgroCulture (Wau Making Workshop).
“Selain itu, pelbagai aktiviti sampingan juga akan diadakan di Dewan C dan kawasan sekitar Kompleks Dewan Pameran di Maeps seperti Larian ShowTech MARDI 2025 Run, pameran mesin pertanian serta kawasan Coffee Corner & Cafe’s, Jualan Agro Madani dan Food Truck Fiesta,” jelasnya.
Dalam masa sama, Mohamad Zabawi memaklumkan, pihak Mardi akan mengadakan jerayawara di seluruh negara bagi memberi hebahan dan informasi kepada orang ramai mengenai program ShowTech Mardi 2025.
Antara lokasi yang akan dikunjungi adalah Pasar Tani Ipoh pada 10 Mei; Taman Agroteknologi Mardi Cameron Highlands pada 11 Mei; dan pekarangan Dataran Alor Setar pada 12 Mei depan.
Selain itu, jelajah promosi turut merangkumi Pasar Tani Shah Alam dan Pasar Tani Maeps pada 17 Mei; Pasar Tani Temerloh pada 18 Mei; serta Jonker Walk dan Mahkota Parade di Melaka pada 24 Mei ini.