MALAYSIA

Shuhaily mahu prosedur AKPS lebih ketat, bendung aktiviti penyeludupan

Seth Akmal 08/07/2025 | 09:50 MYT
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain meninjau pegawai MAQIS melaksanakan tugas di Terminal 1 KLIA. - Astro AWANI.
SEPANG: Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain tidak akan berkompromi terhadap aktiviti penyalahgunaan kuasa dan penglibatan dalam penyeludupan.

Beliau bersama timbalannya Ismail Mokhtar akan mencadangkan prosedur pengambilan dan penamatan kerja yang lebih tegas sekiranya ada pegawai didapati terlibat dalam aktiviti sedemikian.

“Saya cakap terus terang kepada semua pegawai, secara peribadi tidak akan berkompromi dan mungkin mencadangkan beberapa prosedur, pengambilan dan penamatan kerja yang lebih serius sekiranya seseorang itu didapati terlibat dalam aktiviti penyeludupan,” katanya.

Beliau ditemui media selepas mengadakan lawatan sulungnya selaku Ketua Pengarah AKPS di pintu masuk sempadan Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) di sini, hari ini.

Mohd Shuhaily turut mengakui bahawa sebarang perubahan prosedur perlu mendapat kelulusan pihak pembuat dasar.

“Ini semua harus mendapat kelulusan daripada pihak pembuat dasar, mungkin kita juga boleh lihat skim pekerjaan itu sendiri supaya ia dapat menjauhkan pegawai daripada pengaruh dan aktiviti tidak sihat,” katanya.

Beliau turut menyentuh mengenai cabaran dihadapi oleh AKPS dalam menyelaraskan kerja daripada pegawai pelbagai agensi seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Perkihdmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Jabatan Perhilitan Malaysia dan lain-lain.

“Ia merupakan tugasan bersifat pelbagai dimensi dan memerlukan sikap bukan sahaja terbuka tetapi sikap yang lebih profesional.

“Saya di sini untuk bekerja dengan mereka, bukan untuk mengarah, tetapi untuk bekerjasama dan cuba menyelesaikan apa jua kekurangan yang dihadapi oleh pasukan saya,” katanya.



#Mohd Shuhaily Mohd Zain #KLIA #penyalahgunaan kuasa #penyeludupan