MALAYSIA
Shuhaily teraju AKPS: Satu penghormatan buat PDRM - KPN
Shuhaily (kiri) akan mengetuai AKPS hingga 30 Jun 2027. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Perlantikan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain selaku Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) merupakan satu penghormatan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ringkasan AI
- Datuk Seri Mohd Shuhaily dilantik sebagai Ketua Pengarah AKPS menggantikan Datuk Seri Hazani Ghazali, sebagai satu penghormatan besar kepada PDRM dan tanggungjawab penting dalam menjaga keselamatan sempadan negara.
- Ketua Polis Negara menegaskan pelantikan ini sebagai amanah berat, namun PDRM memberi sokongan penuh kepada Shuhaily, yang menerima arahan pertukaran dengan rasa takzim dan tekad tinggi.
- Shuhaily akan mengetuai AKPS hingga 30 Jun 2027, dengan penekanan kepada pengurusan sempadan yang merangkumi bukan sahaja aspek geografi, tetapi juga struktur organisasi, kawalan dan budaya kerja antara agensi.
Ketua Polis Negara Datuk Mohd Khalid Ismail berpendapat ia menunjukkan beliau (Shuhaily) diberi kepercayaan untuk mengetuai satu agensi yang penting untuk memastikan keselamatan negara sentiasa terkawal.
"Ini bukan satu perkara yang kecil saya percaya ia adalah satu amanah yang berat yang perlu dilaksanakan oleh beliau (Shuhaily) dan PDRM secara terbuka akan memberikan sokongan padu dan tidak berbelah bagi, bagi memastikan perlaksanaan tugas dan tanggungjawab ini dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan pada masa akan datang," katanya.
Mohd Khalid berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah JSJ serta pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) JSJ di Bukit Aman pada hari ini.
Sementara itu Shuhaily semasa menyampaikan ucaptama di majlis tersebut menerima arahan pertukaran itu dengan penuh rasa takzim dan hati terbuka.
Beliau yang telah berkhidmat bersama PDRM lebih dua dekad berazam menzahirkan kebenaran dalam melaksanakan tugas baharu bermula esok
"Saya berasa begitu kecil dan kerdil dalam menanggung tanggungjawab yang baharu ini namun ia tidak sesekali melemahkan semangat saya mengzahirkan kebenaran dalam melaksanakan tugas baharu ini kelak.
"Fungsi dan peranan baharu selaku pengarah AKPS menuntut saya menguruskan aspek persempadanan dalam bentuk yang lebih kompleks dan menyeluruh ianya bukan sekadar sempadan geografi tetapi dari segi struktur organisasi, proses kawalan dan juga budaya kerja antara agensi," katanya.
Suhaily akan mengetuai AKPS untuk tempoh dua tahun hingga 30 Jun 2027 bagi menggantikan Datuk Seri Hazani Ghazali yang bersara wajib pada 10 Februari lalu selepas berkhidmat di agensi tersebut sejak Januari 2024.
Sementara itu, Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus dilantik memangku tugas Pengarah JSJ.