KUALA TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan merujuk kes peniaga restoran yang menjual ikan siakap lebih RM1,000 di Langkawi kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Timbalan menterinya Datuk Rosol Wahid berkata ia susulan peniaga tersebut gagal menyerahkan dokumen lengkap seperti dikehendaki selepas tamat tempoh lanjutan sehingga 17 November lalu.

Jelasnya, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 53(a) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 kerana gagal menyelenggara dan menyimpan dokumen wajar perniagaan dan kes diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

"Saya nasihatkan kepada peniaga-peniaga supaya menyimpan rekod... rekod-rekod pembelian, rekod proses dan sebagainya untuk memudahkan kita melakukan penyiasatan.

"Dan oleh hal tersebut, kementerian telah melancarkan satu ops iaitu Ops Menu bermula 6 November lalu dan berakhir 31 Disember ini untuk melihat, memantau harga menu makanan di setiap kedai-kedai makanan, kedai makan dan restoran di seluruh negara," katanya.

Rosol berkata melalui Ops Menu, sebanyak 2,814 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negara dan 21 kes direkodkan melibatkan jumlah kompaun sebanyak RM6,400.

Katanya, daripada jumlah tersebut sebanyak 10 kes di bawah AKHAP 2011 dan 11 kes di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972.

Terdahulu, tular mengenai kumpulan pelancong yang mendakwa dikenakan bayaran RM1,196.80 untuk ikan siakap seberat 7.48 kilogram yang dipesan mereka.

Namun pemilik restoran menegaskan ikan itu biasanya tidak dijual, tetapi dipelihara sebagai sebahagian pertunjukan untuk tontonan pengunjung restoran.

Malah, katanya harga bagi ikan siakap terbabit juga sudah dinyatakan di dalam menu.