PETALING JAYA: Hari kelima siasatan kes kematian kanak-kanak austistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin masih diteruskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Apartment Idaman, Damansara Damai di sini pada Isnin.

Ketika siasatan dijalankan mencari dalang di sebalik pembunuhan kanak-kanak malang itu, turut timbul persoalan apakah tahap kawalan keselamatan terutamanya melibatkan pangsapuri kos rendah seperti di Apartment Idaman wajar dipertingkatkan?

Ada CCTV, tetapi milik individu

Astro AWANI turun ke lapangan meninjau sekitar kawasan pangsapuri ini dan mendapati terdapat beberapa kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa blok.

Bagaimanapun difahamkan, ianya dipasang oleh pemilik kediaman secara bersendirian dan bukannya mengikut persatuan penduduk.

Salah seorang penduduk yang kami temui, Mohd Ridhuan Jamaluddin, 46, bapa kepada lima orang anak mahukan kawalan keselamatan di kawasan itu dipertingkatkan.

"Betul, daripada dulu lagi yang duduk di sini ambil masa 5-10 tahun patut perkara ini dinaik taraf.

"Daripada pihak JMB (Badan Pengurusan Bersama) di tempat sini, apa yang kita dapat tahu sebagai penduduk sepatutnya benda itu dinaik taraf, sebelum berlaku benda-benda buruk macam ini," katanya ketika ditemui.

Mohd Ridhuan Jamaluddin - Foto Astro AWANI

Ujar Mohd Ridhuan, kawalan keselamatan di pangsapuri kos rendah seperti Apartment Idaman perlu dilihat semula bukan hanya pihak JMB tetapi juga pihak berkuasa tempatan.

"Itu pun perlu, tapi itulah disebabkan (pangsapuri) kos rendah, tapi perlu daripada pihak JMB.

"Betul juga, saya setuju kalau ada lebih lega. Tapi itulah, kawasan kos rendah kan mungkin ambil masa nak dinaik tarafkan untuk kawalan keselamatan begitu.

"JMB sini aktif ura-ura untuk buat kawalan keselamatan saya ada dengar mungkin ambil masa," katanya lagi.

Penduduk mahukan kawalan keselamatan di kawasan itu dipertingkatkan. - Foto Astro AWANI


Dulu ada kawalan keselamatan

Seorang lagi penduduk, Mohamad Asri Shafie, 54, pula berkongsi cerita bahawa pangsapuri terbabit pernah mempunyai kawalan keselamatan yang ketat.

Bagaimanapun kawalan keselamatan dikatakan kurang 'aktif' dari sudut rondaan di sekitar kawasan pangsapuri itu sejak 2018.

"Sebelum ini ada kawalan keselamatan, dulu memang kita ronda. Satu dari pasukan Rela dan satu persatuan Apartment Idaman.

Perkembangan siasatan kematian Zayn Rayyan

"Kita tak benarkan masuk selepas jam 12 tengah malam, siapa pelawat nak masuk kita minta penduduk itu keluar jemput," katanya. 

Mohamad Asri Shafie - Foto Astro AWANI

Tambah Mohamad Asri, perlu dipertingkatkan kawalan keselamatan di kawasan pangsapuri itu demi keselamatan penduduk.

"Saya rasa benda tu yang baik dibawa kembali untuk keselamatan anak-anak dan generasi akan datang," ujarnya lagi.

Siasatan di lokasi

Sementara itu, pemerhatian Astro AWANI mendapati beberapa anggota polis dipercayai dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman sedang menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

Pihak media turut tidak dibenarkan berada di sepanjang Blok R, iaitu kawasan kediaman Allahyarham Zayn Rayyan.

Perkembangan hari kelima siasatan pembunuhan Zayn Rayyan