USIANYA tiga kali lebih tua daripada majoriti atlet yang bertanding di Tokyo, tetapi Oksana Chusovitina bukan calang-calang atlet. 

Gimnas berusia 46 tahun ini mengesahkan Olimpik Tokyo akan menjadi arena Olimpik terakhirnya.

"Secara fizikal, saya berasa sihat tetapi saya rasa tidak sedap hati. Namun, saya gembira dengan keputusan ini," katanya yang sudah lapan kali layak ke Olimpik mewakili beberapa pasukan berbeza.

Chusovitina mewakili Soviet Union ketika kali pertama layak ke Olimpik pada 1992. Dia juga pernah bertanding mewakili Jerman sebagai tanda terima kasih kepada negara itu yang membantu memberi rawatan kepada anaknya yang menghidap Leukimia.

Untuk edisi Olimpik kali ini, Chusovitina bertanding mewakili Uzbekistan.

Acara gimnastik vault merupakan acara terbaik dan paling digemari Chusovitina, dan satu-satunya acara yang disertai di Tokyo.

Namun, kehadiran Chusovitina bukan sekadar mengisi tempat kosong kerana dia mempunyai rekod yang baik di kejohanan antarabangsa.

Dia memiliki banyak pingat dari pelbagai kejohanan dunia, termasuk dua pingat emas dan perak Olimpik. Dalam kejohanan dunia 2018, Chusovitina berada di tempat keempat acara vault.

"Saya tidak memikirkannya, tetapi ia satu penghormatan jika ada yang menganggap saya inspirasi gimnas lain untuk beraksi dalam tempoh lebih lama," ujarnya.

Chusovitina tidak menyesal, malah bangga mengakhiri kerjayanya yang gemilang.

"Anak sulung saya sudah berusia 22 tahun. Saya mahu menumpukan perhatian sebagai ibu dan isteri," katanya.

Selama tiga dekad melakar nama sebagai ahli gimnas tersohor di persada antarabangsa, legasi Oksana pasti tidak akan lenyap.